PENYANYI era 80-an, Suliza Salam menamatkan zaman janda selepas kembali mendirikan rumah tangga dengan lelaki pilihan yang dikenali sebagai Ismail A Samad, sekitar pukul 11 pagi, hari ini.
Berita gembira itu dikongsi oleh rakan artis iaitu pelakon Anne Abdullah yang memberitahu ibu kepada penyanyi Ismail Izzani itu selamat bernikah di kediamannya di Bukit Kiara, Kuala Lumpur.
“Tahniah kak Suliza. Moga kekal ke jannah kakak ku sayang. Syukur Alhamdulillah, saya tumpang gembira. Terima kasih atas undangan,” tulisnya di Instagram.
Majlis tersebut hanya dihadiri ahli keluarga dan rakan rapat Suliza.
Pernikahan penyanyi itu dihadiri oleh anak-anaknya termasuk Ismail yang turut berpakaian baju Melayu bewarna putih mengikut tema pernikahan ibu tercintanya.
Selain Anne, majlis pernikahan terbabit turut dimeriahkan dengan kehadiran rakan-rakan selebriti seperti Ziela Jalil dan Liza Abdullah.
Suliza sebelum ini berkahwin dengan ahli perniagaan terkenal iaitu Datuk Zainal Nazeri Zainuddin pada 11 Januari 1991.
Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Nurizzati, Nur Falahi dan Ismail Izzani.
Bagaimanapun pasangan itu tidak pernah berkongsi mengenai perceraian mereka sehingga Ismail memaklumkan perkara itu pada tahun ini.

