ENAKMEN Kawalan Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 2024 yang bakal berkuat kuasa empat hari lagi membolehkan kawalan lebih tegas dilaksana terhadap aktiviti hiburan di Kelantan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah berkata enakmen itu diluluskan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan pada November.
Beliau berkata individu atau syarikat yang mahu menganjurkan acara hiburan diingatkan supaya mengemukakan permohonan sebulan lebih awal bagi memudahkan proses semakan dan mengelak sebarang pelanggaran peraturan.
“Memandangkan sudah 26 tahun tiada sebarang pindaan atau penambahbaikan dibuat, terdapat banyak kelompangan yang menimbulkan kesulitan dari segi pelaksanaannya.
“Penggubalan enakmen baharu ini selari hasrat pihak berkuasa negeri untuk menukar pegawai pelesen hiburan daripada ketua jajahan kepada yang dipertua pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya.
Baca artikel lain: PM adakan pertemuan dengan Thaksin, bincang isu kritikal serantau
Antara perubahan baharu dalam enakmen itu, semua kadar denda kesalahan dan kompaun dinaikkan hingga maksimum RM50,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Kadar deposit cagaran hiburan dinaikkan hingga tidak lebih RM20,000 dan kesalahan yang mengandungi larangan atau unsur larangan boleh didenda hingga RM30,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun.
Kesalahan Penalti Am juga dinaikkan daripada RM2,000 kepada RM5,000 atau penjara atau kedua-duanya sekali dan garis panduan enakmen itu juga turut mengambil kira kesalahan berkait penggunaan alat-alat elektronik.
— BERNAMA
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

