YANG di-Pertuan Agong mempunyai kuasa prerogatif untuk memberi ampun, tunda dan lega hukum bagi apa-apa kesalahan yang dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.
Kuasa prerogatif itu terkandung mengikut peruntukan Perkara 42(1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan.
Perkara itu dinyatakan Istana Negara dalam kenyataan hari ini.
Menurut kenyataan itu, Yang di-Pertuan Agong juga boleh meremit, menggantung atau meringankan apa-apa hukuman yang telah dijatuhkan oleh mahkamah bagi kesalahan tersebut.
Sehubungan itu, Istana Negara mengingatkan semua pihak untuk menghormati Perlembagaan dan undang-undang yang ditetapkan.
“Kuasa Yang di-Pertuan Agong ini dijalankan dengan nasihat Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Seri Paduka Baginda.
“Oleh itu, sekiranya mana-mana pihak ingin mencadangkan supaya mana-mana banduan untuk diberi keampunan atau pengurangan hukuman, permohonan berkenaan hendaklah dikemukakan oleh banduan berkenaan untuk dipertimbangkan Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong pada mesyuarat akan datang,” katanya dalam kenyataan itu.
Sebelum ini, Jabatan Peguam Negara memaklumkan, Datuk Seri Najib Razak perlu mengemukakan permohonan baharu kepada Lembaga Pengampunan dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong, sekiranya ingin menghabiskan baki tempoh hukumannya kepada tahanan di rumah.
Baca artikel lain: Najib perlu mohon di Lembaga Pengampunan jika mahu habis baki hukuman di rumah – AGC
Menurut Jabatan Peguam Negara, keputusan oleh Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong itu akan dibuat berdasarkan tatacara dan saluran yang sudah ditetapkan mengikut undang-undang dan bukannya mana-mana saluran lain.
“Kamar ini dititahkan oleh Seri Paduka untuk memaklumkan, bahawa semua permohonan mengenai pengampunan bagi kesalahan yang dilakukan dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, hendaklah dikemukakan kepada Lembaga Pengampunan.
“Oleh itu, sekiranya mana-mana pihak ingin mencadangkan mana-mana banduan termasuk Datuk Seri Najib Razak menghabiskan baki tempoh hukumannya dengan ditahan di rumahnya, permohonan berkenaan perkara itu hendaklah dikemukakan untuk dipertimbangkan Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan Seri Paduka mengikut tatacara dan saluran ditetapkan undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa,” katanya.
Najib, 71, sedang menjalani hukuman penjara enam tahun sejak 23 Ogos 2022, selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 September tahun sama.
Lembaga Pengampunan kemudiannya mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta, menjadikan beliau bakal bebas pada 23 Ogos 2028.
Titah Adendum yang membenarkan Najib menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah dikatakan diperkenan Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Dalam permohonan yang difailkan pada April lalu, Najib memohon perintah mandamus untuk memaksa responden menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum.
Beliau menamakan Menteri Dalam Negeri; Ketua Pengarah Penjara; Peguam Negara; Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di JPM serta Kerajaan Malaysia sebagai responden.
Bekas Perdana Menteri itu juga memohon perintah, jika titah adendum itu wujud, maka semua responden atau seorang daripada mereka perlu melaksanakannya dan dengan serta-merta memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur untuk menjalani baki hukuman penjara di rumah.
Pada 3 Julai lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan bekas ahli Parlimen Pekan itu apabila memutuskan empat afidavit menyokong tuntutannya, termasuk kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, tidak boleh diterima pakai kerana ia khabar angin semata-mata.
Mahkamah Rayuan menetapkan 6 Januari ini untuk mendengar rayuan Najib berhubung keputusan Mahkamah Tinggi itu yang menolak kebenaran semakan kehakiman dan notis usul yang difailkan untuk mengemukakan keterangan tambahan berkaitan Titah Addendum.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

