Pekerja logistik didenda RM10,000 hina kerabat diraja

Auzaee Athallah
Auzaee Athallah
Penulis merupakan Pengarang Multimedia/wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lima tahun dalam dunia kewartawanan. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2023, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat penyiaran/portal lain sejak tahun 2021. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama mahkamah, jenayah dan politik.

Dari Penulis

SEORANG pekerja logistik didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan membuat dan memulakan hantaran jelik terhadap kerabat diraja menerusi media sosial, lebih tiga tahun lalu.

Hakim Siti Aminah Ghazali mengenakan hukuman itu selepas tertuduh, Tan Yong Hua, 41, mengaku bersalah selepas pertuduhan itu dibacakan terhadapnya.

Beliau turut mengarahkan agar tertuduh dipenjarakan enam bulan sekiranya gagal membayar denda terbabit.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa secara sedar membuat dan memulakan hantaran jelik melalui aplikasi Instagram menggunakan profil nama ‘ogbadboyterryt’ dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain, antara 6 dan 7 November 2021.

Hantaran itu telah dibaca di sebuah kondominium, dekat Jalan U-Thant, di Wangsa Maju, Kuala Lumpur pada 7 November 2021.

Justeru, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] dan bawah Seksyen 233(3) akta yang sama.

Sabit kesalahan bagi pertuduhan itu boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 atau penjara selama tempoh sehingga setahun atau kedua-duanya dan juga denda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Terdahulu sebelum hukuman dijatuhkan, Yong Hua yang tidak diwakili peguam merayu agar mahkamah menjatuhkan hukuman rendah memandangkan tidak mempunyai pendapatan tetap selepas mengalami kecederaan pada tangan kirinya.

“Saya hanya menanggung diri sendiri. Saya juga janji tak buat lagi, minta ampun,” rayunya.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya, Wan Ahmad Hijrah Wan Abdullah memohon agar mahkamah menjatuhkan hukuman yang keras dalam bentuk pengajaran bukan sahaja terhadap tertuduh, malah kepada orang ramai secara umum.

“Pendakwaan mohon satu hukuman yang keras bagi memberi pengajaran kepada masyarakat untuk tidak menyentuh perkara 3R terutama institusi diraja dalam mengendalikan media sosial yang mana setiap komen boleh dibaca oleh keseluruhan masyarakat dan membangkitkan kegusaran awam,” katanya.

Mengikut fakta kes, hantaran yang bersifat jelik tersebut telah dibaca oleh Tun Putera Ahmad Aizuddin Shah Dato’ Mohamed Johan sekitar jam 11 malam di sebuah unit kondominium di Jalan Taman U-Thant, yang berasa sakit hati selepas membaca hantaran tersebut sebelum membuat laporan polis.

Keterangan menunjukkan tertuduh tahu dan sedar bahawa hantaran itu bersifat jelik serta menghina institusi diraja selain bertujuan untuk menyebabkan orang ramai yang membaca hantaran itu marah dan sakit hati.

Tertuduh kemudian ditangkap oleh pihak polis sekitar jam 10 malam pada 26 November 2021 selain merampas sebuah telefon bimbit jenis Iphone 7Plus serta sekeping sim kad.

Hasil Analisa Forensik Digital oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) ke atas telefon bimbit tertuduh telah menjumpai akaun Instagram ‘ogbadboyterryt’ itu.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Harga diesel turun 30 sen seliter minggu ini

HARGA diesel di Semenanjung diturunkan 30 sen seliter bagi tempoh 18 Jun hingga 24 Jun ini. Kementerian Kewangan dalam kenyataan...

More Articles Like This