
KEPUTUSAN kerajaan untuk menangguhkan projek mega termasuk projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura adalah tepat dalam usaha memastikan kewangan negara ditumpukan kepada projek yang lebih utama melibatkan kesejahteraan rakyat.
Ia seperti mana dijelaskan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa  komitmen kerajaan membabitkan projek mega terpaksa ditangguhkan pada masa ini kerana perlu menyelesaikan beberapa isu tertunggak.
Perdana Menteri berkata, kerajaan berdepan kekangan dan kini memberi tumpuan kepada projek membabitkan rakyat seperti mitigasi banjir dan infrastruktur asas.
Sehubungan itu, katanya, keputusan untuk menghidupkan semula projek HSR tersebut bergantung kepada pembabitan sepenuhnya sektor swasta tanpa membebankan kerajaan.
“Mengenai HSR, pendirian kami adalah untuk menjemput pembabitan penuh sektor swasta kerana kerajaan ada kekangannya, isu seperti mitigasi banjir, pendidikan dan kesihatan yang menjadi keutamaan, sekurang-kurangnya untuk tempoh satu ke dua tahun akan datang,” katanya.
Ketika kali pertama diumumkan pada 2013, projek sejauh 350 kilometer itu menelan belanja RM72 bilion dan terkini dikatakan mencecah RM100 bilion.
 Langkah kerajaan untuk memberi tumpuan kepada tiga isu iaitu banjir, Pendidikan dan kesihatan juga harus dipuji kerana ketiga-tiga penting kepada kesejahteraan rakyat. Banjir yang semakin melanda tanpa mengira musim akibat perubahan iklim, prasarana pendidikan dan kesihatan yang perlu ditambah atau ditingkatkan membuktikan keprihatinan kerajaan .
Dengan menangguhkan projek mega termasuk HSR, wang yang sepatutnya mahu diperuntukkan untuk projek-projek berkenaan boleh disalurkan kepada soal yang lebih penting melibatkan hidup rakyat.
 Perlu diingat bencana banjir kini semakin serius. Selain kerosakan harta benda, nyawa penduduk di kawasan terlibat juga terancam. Oleh itu dengan peruntukan yang sedikit sebanyak diambil dari projek mega tersebut sudah pasti lebih banyak langkah boleh dilakukan oleh kerajaan bagi mengatasi masalah banjir dan membantu mereka yang menjadi mangsa banjir.
 Begitu juga dalam soal Pendidikan, peruntukan untuk projek mega boleh disalurkan untuk meningkatkan kemudahan pendidikan di Kawasan-kawasan memerlukan khususnya di luar bandar yang mungkin sebelum ini ditangguhkan kerana kerajaan kekurangan peruntukan.Â
Manakala di bidang kesihatan, sama ada mahu diakui atau tidak, negara kita berhadapan dengan kesesakan pesakit di hospital yang serius. Oleh itu bajet projek mega boleh diberikan kepada projek ‘mega’ membina hospital dan kemudahan kesihatan lain yang dapat dirasai oleh golongan miskin.
 Justeru biarlah projek mega  ditangguhkan dahulu. Lagipun Malaysia sudah banyak projek seumpama itu. Projek HSR pun lebih sekadar untuk memendekkan perjalanan ke Singapura sahaja.Â
Singapura pun tidak ada masalah dengan penangguhan itu dan menyatakan mereka terbuka dengan sebarang cadangan baharu dari Malaysia, namun ia harus dimulakan semula daripada awal.
Oleh itu jika ada mana-mana pihak masih melihat projek mega termasuk HSR perlu diteruskan dalam tempoh terdekat bagi merancakkan ekonomi, mereka patut berusaha sendiri mencari pihak swasta yang bersedia membiayai 100 peratus projek-projek berkenaan.
 Ia memandangkan Anwar sudah menyatakan ‘’ (projek HSR) bergantung kepada pembabitan sepenuhnya sektor swasta tanpa membebankan kerajaan.’’

