Titah Adendum: BHEUU JPM tak terima pemakluman, arahan rasmi Istana Negara

Afiq Mohd. Shah
Afiq Mohd. Shah
Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

Dari Penulis

BAHAGIAN Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) tidak menerima sebarang pemakluman atau arahan rasmi daripada pihak Istana Negara berhubung Titah Adendum bagi membolehkan Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah.

Sebagai urus setia kepada Lembaga Pengampunan, BHEUU JPM dalam kenyataan turut mengesahkan tiada sebarang dokumen tambahan atau adendum yang berada dalam fail atau rekod rasmi di bawah bahagian itu.

Menurut BHEUU JPM, mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-61 telah diadakan pada 29 Januari 2024 dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Katanya, mesyuarat tersebut telah mempertimbangkan permohonan pengampunan yang dikemukakan Najib.

Sehubungan itu, BHEUU JPM menegaskan sebarang kenyataan yang boleh mengelirukan orang ramai mengenai kedudukan atau peranan Lembaga Pengampunan adalah tidak wajar dan berpotensi mengundang tindakan sewajarnya.

“Langkah ini penting bagi memastikan integriti Lembaga Pengampunan terpelihara serta maklumat yang tepat dapat disampaikan kepada masyarakat.

“BHEUU JPM sentiasa komited dalam menjalankan tugas sebagai urus setia dengan penuh integriti, ketelusan dan profesionalisme selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang lain yang sedia ada.

“Segala urusan berkaitan dengan Lembaga Pengampunan telah dan akan terus dilaksanakan selaras dengan undang-undang serta prosedur yang telah ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca artikel lain: Dr Zaliha sangkal dakwaan sembunyikan Titah Adendum

Dalam pada itu, BHEUU JPM memberitahu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) tidak menganggotai Lembaga Pengampunan mahupun terlibat dengan apa-apa urusan pentadbiran atau pengurusannya termasuk apa-apa perkara lain berkaitan pengampunan mana-mana banduan.

Bahagian itu memaklumkan, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya merupakan sebuah badan bebas yang ditubuhkan berdasarkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dengan BHEUU hanya bertindak sebagai urus setia dan bukan agensi atau jabatan kerajaan di bawahnya.

Katanya, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong manakala menteri yang bertanggungjawab menjadi anggota lembaga tersebut sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Fasal (11) Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

“Prosiding dan maklumat berkaitan Lembaga Pengampunan adalah tertakluk sepenuhnya kepada Akta Rahsia Rasmi (Akta 88).

“Semua dokumen yang berkaitan hanya boleh diakses oleh ahli-ahli Lembaga Pengampunan dan individu yang diberi kuasa secara langsung oleh Lembaga tersebut.

“Tiada mana-mana pihak lain, tanpa mengira kedudukan atau jawatan mempunyai akses kepada dokumen-dokumen tersebut sejajar dengan prinsip kerahsiaan dan integriti,” katanya.

BHEUU JPM turut memberitahu tidak berurusan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) mengenai apa-apa perkara berhubung Lembaga Pengampunan kecuali kepada Yang di-Pertuan Agong sebagaimana diperuntukkan dalam Perlembagaan.

Isnin lalu, Mahkamah Rayuan Putrajaya membenarkan Najib memulakan prosiding semakan kehakiman bagi suatu perintah untuk memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab dan mengesahkan kewujudan titah tambahan itu.

Titah adendum berkenaan dikatakan diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang membolehkan bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah, bersabit kesalahan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Keputusan majoriti 2 -1 dibuat Hakim Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril membenarkan rayuan Najib untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman itu manakala Hakim Datuk Azizah Nawawi yang mengetuai panel menentangnya.

Sehubungan itu panel memerintahkan supaya kes terbabit diremitkan (dikembalikan) ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur supaya merit semakan kehakiman terbabit dan diputuskan.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Kerajaan kekal iktiraf kedudukan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan

KERAJAAN Persekutuan kekal mengiktiraf kedudukan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang sah. Mengulas mengenai perkembangan...

More Articles Like This