POLIS berjaya membongkar sebuah makmal kokain haram bernilai RM8 juta di Kuala Lumpur dengan menahan seorang lelaki warganegara Hong Kong pada pukul 5.30 petang kelmarin.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata, hasil daripada maklumat risikan, seorang lelaki Cina yang juga pemilik pasport British telah ditahan di Pusat Perindustrian Kuala Lumpur dekat Jalan Klang Lama.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan telah menemui dua bekas plastik lutsinar berisi cecair 2.57 liter disyaki kokain, satu bekas plastik mengandungi ketulan kokain seberat 2.19 kilogram (kg) dan pelbagai peralatan memproses dadah.
Jelasnya, dengan dipandu arah oleh suspek, polis telah membuat serbuan ke atas sebuah premis di Jalan Klang Lama.
“Hasil pemeriksaan telah menemui peralatan dan 3,517.25 liter serta 104.9 kg bahan kimia disyaki untuk memproses dadah.

“Antara peralatan yang ditemui adalah enam set tangki putih, tujuh tabung uji dan sebuah peti sejuk yang mengandungi 19 botol plastik.
“Turut ditemui sebiji tong putih berisi cecair bahan kimia, dua guni berisi serbuk ‘powered activated carbon’ dan empat guni plastik bertulis ‘sodium bicarbonate food grade’ disyaki mengandungi bahan kimia,” katanya.
Polis juga turut merampas 27 tong putih cecair bertulis ‘denatured ethyl alcohol 95%’, 48 tong biru bertulis ‘toluene’ (methylbenzene) dan 16 tong cecair ‘hydrogen peroxide aqueous solution’.
“Bahan lain termasuk 23 tong cecair ‘bossman mosaic fluid’, sebuah mesin pemanas air, mesin penyahairan, mesin penukar voltan, 51 kotak coklat di mana setiap satu terdapat empat tong putih berisi cecair disyaki mengandungi bahan kimia turut dirampas,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur hari ini.

Jelasnya, polis turut membuat serbuan di sebuah rumah dekat Segambut, Kuala Lumpur, pada pukul 7.40 malam dan telah menemui 1 liter dan 3.2 kg bahan kimia disyaki untuk memproses dadah.
Kok Chin berkata, jumlah keseluruhan rampasan kokain adalah seberat 2.2 kg dan 2.6 liter serta bahan kimia seberat 108.15 kg dan 3,518.25 liter dianggarkan bernilai RM8 juta.
Mengulas lanjut, dadah yang dirampas ini oleh digunakan seramai 192,000 orang penagih dadah dan sindiket ini dipercayai mula aktif sejak Disember 2024.

Tambahnya, premis ini juga telah digunakan sejak awal Disember 2024 untuk memproses dadah.
“Semakan rekod mendapati suspek berusia 27 tahun yang ditahan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan saringan air kencing negatif dadah,” katanya.
Suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 22 Januari dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Tegasnya, siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengesan rangkaian sindiket yang masih bebas.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

