KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melaksanakan tiga inisiatif rakyat sempena Tahun Baru Cina 2025.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, inisiatif tersebut adalah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baru Cina, Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) Tahun Baru Cina dan Program Servis Ihsan Madani@Petronas AutoExpert (SIM@PAX).
Jelas beliau, SHMMP Tahun Baru Cina 2025 akan berkuatkuasa dari 25 Januari hingga 2 Februari 2025.
Armizan berkata, tempoh pelaksanaan adalah selama sembilan hari iaitu empat hari sebelum perayaan, sehari semasa perayaan dan empat hari selepas perayaan.
“Kementerian telah mengenal pasti sebanyak 16 jenis barangan yang akan dikawal di bawah skim kali ini seperti ikan bawal putih, udang putih, kobis bulat import dan daging babi.
“Skim ini akan dikuatkuasakan melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011. Harga maksimum yang telah ditetapkan di peringkat borong dan runcit boleh disemak melalui laman web KPDN di www.kpdn.gov.my,” katanya dalam sidang media hari ini.
Mengulas lanjut, Armizan berkata, pegawai-pegawai penguat kuasa KPDN di seluruh negara akan ditugaskan di lokasi-lokasi strategik seperti di pasar awam, pasar tani dan pusat membeli-belah barangan keperluan perayaan.
Menurut Armizan, langkah itu bagi menjalankan pemeriksaan dan penguatkuasaan untuk memastikan pematuhan dalam kalangan para peniaga seterusnya melindungi kepentingan para pengguna.
Katanya, kementerian akan terus menjalinkan kerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi memastikan bekalan barangan yang dikawal adalah mencukupi sepanjang tempoh pelaksanaan Skim.
Armizan berkata, kerajaan berharap semua pihak dapat mematuhi harga-harga yang telah ditetapkan ini dan menggunakan label merah jambu bagi barangan yang dikawal harganya.
“Adalah diingatkan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah skim ini.
“Mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan boleh dikenakan penalti,” katanya.
Dalam pada itu, inisiatif PJRM Tahun Baru Cina 2025 merupakan program baharu yang dilaksanakan bermula Oktober tahun lepas bertujuan meringankan kos sara hidup rakyat dalam persediaan sambutan perayaan.
Beliau berkata, setakat 20 Januari 2025, sebanyak 472 PJRM Tahun Baru Cina dilaksanakan di seluruh negara.
Manakala, Program Servis Ihsan Madani@Petronas AutoExpert (SIM@PAX) akan dilaksanakan bermula 24 hingga 28 Januari bersempena Sambutan Tahun Baru Cina 2025.
“Program baharu yang melibatkan kerjasama KPDN bersama Petronas ini menyasarkan pemberian manfaat kepada golongan berpendapatan rendah dalam mendepani cabaran kos sara hidup melalui penjimatan kos bagi penyelenggaraan kenderaan sempena sambutan musim perayaan utama di Malaysia.
“Melalui program ini, para pengguna berpeluang mendapatkan diskaun bagi perkhidmatan servis kereta termasuk produk minyak pelincir antara 10 hingga 30 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran semasa.
“Bersempena Tahun Baru Cina ini, para pengguna boleh mendapatkan pakej penyelenggaraan kereta di 95 bengkel PETRONAS AutoExpert di seluruh negara secara janji temu menerusi aplikasi SETEL,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

