MALAYSIA berharap perjanjian gencatan senjata yang sedang berlangsung di Gaza ketika ini bersifat kekal sekali gus menghentikan kekejaman dan pembunuhan yang tidak berperikemanusiaan terhadap rakyat Palestin.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan seperti dipetik Bernama berkata, Malaysia juga telah berunding dengan Jepun untuk mengadakan persidangan termasuk bersama negara yang berkongsi pandangan sama.
Kata beliau, ia bagi berbincang mengenai cara mengumpulkan kewangan untuk membantu pembangunan semula Gaza.
“Kita (Malaysia) sambut baik gencatan senjata yang diuruskan Qatar, Mesir dan Amerika Syarikat (AS), inilah yang kita desak supaya pembunuhan dihentikan.
“Kita berharap supaya bantuan kemanusiaan bukan sahaja makanan tapi perubatan akan segera dihantar, setakat ini pun banyak dah dihantar sejak pintu sempadan Rafah dibuka.
Kita akan anjur bersama dengan Jepun, sepatutnya pada Julai tetapi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim minta disegerakan tanpa menunggu Julai, jadi saya telah berhubung dengan rakan sejawat saya dan sedang menunggu respons daripadanya,” katanya.
Baca artikel lain: Lebih 550 trak bantuan masuk Gaza hari pertama gencatan senjata
Sementara itu, Mohamad yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata, Kabinet akan membincangkan perkembangan terkini berkaitan dasar baharu pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump termasuk cadangan tarif import yang akan dikenakan terhadap beberapa negara.
Dalam hal ini, beliau berkata, AS merupakan antara rakan dagang utama Malaysia khususnya menerusi eksport barangan elektrik dan elektronik ke negara berkenaan.
“Jadi kerajaan sedang menelitinya, Wisma Putra juga sedang teliti, kita melihat perkembangan terkini dan akan membawa ke Kabinet untuk dibincangkan,” katanya.
Semalam, media melaporkan Trump mengumumkan rancangannya untuk mengenakan tarif 10 peratus ke atas import dari China bermula 1 Februari.
Ancaman pelaksanaan tarif itu susulan pengumuman Trump pada Isnin bahawa beliau berhasrat mengenakan 25 peratus duti ke atas import dari Kanada dan Mexico sebagai tindak balas terhadap kemasukan fentanyl dan pendatang tanpa izin ke AS.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

