Along Cham dilepas tanpa dibebaskan satu kes dadah

Auzaee Athallah
Auzaee Athallah
Penulis merupakan Pengarang Multimedia/wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lima tahun dalam dunia kewartawanan. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2023, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat penyiaran/portal lain sejak tahun 2021. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama mahkamah, jenayah dan politik.

Dari Penulis

Mahkamah Sesyen Sepang hari ini melepas tanpa membebaskan (DNAA) pelakon dan pelawak Along Cham atas satu pertuduhan memiliki dadah disyaki kanabis yang ditemui di kediamannya di Cyberjaya, pada Disember tahun lepas.

Hakim Ahmad Fuad Othman memutuskan demikian selepas pihak pendakwaan memaklumkan kepada mahkamah bahawa susulan hasil laporan kimia tertuduh, pertuduhan yang dihadapi Along atau nama sebenarnya, Muhammad Nizamudin Ahmad, 41, di bawah Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dipinda dan dibawa ke Mahkamah Majistret untuk dituduh atas Seksyen 39A (1) ADB 1952.

Pelakon dan pelawak, Angah Raja Lawak, memeluk Along Cham selepas sahabatnya itu dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Sepang hari ini atas satu pertuduhan memiliki dadah disyaki kanabis yang ditemui di kediamannya di Cyberjaya, pada Disember tahun lepas. GAMBAR: Hafiz Aiman

Mendengar makluman itu, Hakim Ahmad Fuad memerintahkan agar pelakon filem bersiri ‘Adnan Sempit’ itu dilepaskan tanpa dibebaskan.

“Pertuduhan kamu bawah seksyen ini (39A (2) DNAA, kamu akan dituduh di mahkamah majistret kerana pertuduhan kamu diturunkan,” kata hakim itu.

Susulan itu, Along didakwa dan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Sepang hari ini atas dua pertuduhan lain iaitu memiliki dan memasukkan dadah serta dibenarkan ikat jamin sebanyak RM5,000.

Along membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Bukhori Md Roslan.

Mengikut pertuduhan pertama, pelawak itu didakwa dalam milikannya bahan berbahaya jenis kanabis seberat 49.61 gram di sebuah rumah di Cyberjaya di sini, pada jam 3.10 petang, 14 Disember tahun lalu, mengikut Seksyen 6 ADB 1952 dan boleh dihukum 39(a)(1) akta sama.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa memasukkan dadah berbahaya disyaki jenis tetra hydrocannibol (THC), di lokasi sama, pada jam 10 malam, di Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Sek 15(1)(a) ADB 1952 boleh dibaca bersama 38B akta sama, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih daripada dua tahun dan dikenakan pengawasan tidak kurang daripada dua tahun dan tidak lebih tiga tahun.

Along Cham (tiga dari kiri) bersama barisan peguamnya selepas dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Sepang hari ini. GAMBAR: Hafiz Aiman

Ketika prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohamed Wafi Husain menawarkan jaminan sebanyak RM8,000 bagi kedua-dua pertuduhan baharu itu, namun peguam Kamal Hisham Jaafar yang mewakili Along memohon agar jaminan dikenakan pada kadar RM4,000 memandangkan dia perlu menerima rawatan berkala bagi ketumbuhan di leher.

“Anak guam juga menanggung anak berusia 14 tahun, dan ibunya berusia 64 tahun yang mempunyai penyakit kencing manis, darah tinggi dan jantung,” kata peguam itu.

Tambah beliau, pendapatan anak guamnya itu yang bekerjaya sebagai seorang selebriti terjejas ekoran kes yang sedang dihadapinya di mahkamah.

Susulan itu, Majistret Muhammad Bukhori membenarkan jaminan sebanyak RM3,500 bagi pertuduhan pertama mankala RM 1,500 bagi pertuduhan kedua.

Sebelum ini pada 20 Disember tahun lalu, UtusanTV melaporkan Along didakwa di Mahkamah Sesyen Sepang atas pertuduhan memiliki bahan disyaki dadah berbahaya jenis kanabis anggaran berat 58.23 gram di sebuah rumah di Cyber 9, Cyberjaya, dekat sini pada jam 3.10 petang, 14 Disember lalu.

Bagi pertuduhan itu, Along didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39A (2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau suatu tempoh tidak kurang daripada lima tahun, dan sebat maksimum 10 sebatan.

Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Zuhaini Mahamad Amin tidak menawarkan sebarang jaminan memandangkan kesalahan itu tidak boleh dijamin.

Pada tarikh itu juga, Along mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memiliki bahan disyaki dadah jenis kanabis anggaran berat 2.07 gram di alamat, masa dan tarikh yang sama.

Bekas peserta program realiti komedi, Raja Lawak itu didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 6 sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Harga diesel bersubsidi turun kepada RM2.10 seliter mulai Julai

BERITA baik buat orang ramai apabila Kerajaan MADANI bersetuju menurunkan harga diesel bersubsidi untuk rakyat kepada RM2.10 seliter mulai...

More Articles Like This