COO Prolintas mengaku tak bersalah terima rasuah RM70,000 babit projek Lebuhraya SUKE

Auzaee Athallah
Auzaee Athallah
Penulis merupakan Pengarang Multimedia/wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lima tahun dalam dunia kewartawanan. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2023, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat penyiaran/portal lain sejak tahun 2021. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama mahkamah, jenayah dan politik.

Dari Penulis

KETUA Pegawai Operasi Projek Lintasan Kota Holdings Sdn. Bhd. (Prolintas) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM70,000 daripada sebuah syarikat pembinaan berhubung projek Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE), pada April dua tahun lalu.

Tertuduh, Rostam Shahrif Tami, 59, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Rosli Ahmad.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa secara rasuah menerima satu suapan wang tunai berjumlah RM70,000 daripada syarikat Satunas Technologies Sdn. Bhd., melalui seorang individu di hadapan tempat letak kereta dekat sebuah masjid, di Kampung Datuk Keramat, di Kuala Lumpur pada 12 April 2023.

Suapan itu adalah sebagai upah kepada tertuduh yang merupakan Wakil Pengawai Penguasa (Superintending Officer’s Representative) bagi Projek Penswastaan Lebuhraya Bertingkat SUKE yang memberikan kerja bertajuk, ‘To Construct End Cap Stressing And Shear Block’ dan ‘To Install Expension Joint Including Hacking, Grouting And Nosing’ kepada syarikat pembinaan terbabit.

Justeru, Rostam didakwa mengikut Sesyen 16(a)(A)Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

Sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Ketua Pegawai Operasi Syarikat Konsesi lebuhraya, Projek Lintasan Kota Holdings Sdn. Bhd (Prolintas), Rostam Shahrif Tami,59, menghadapi pertuduhan menerima rasuah wang tunai berjumlah RM70,000 daripada sebuah syarikat pembinaan berhubung projek Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Klang (SUKE), dua tahun lalu ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nor Diana Nor Azwa mencadangkan jaminan sebanyak RM60,000 dengan seorang penjamin bagi pertuduhan.

Selain itu, beliau turut memohon agar tertuduh menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah, melaporkan diri ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekali setiap bulan dan tidak mengacau ganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai, sebagai syarat tambahan jaminan.

Sementara itu, peguam Tan Sri Dzulkifli Ahmad tidak membantah jumlah jaminan serta syarat tambahan menyerahkan pasport tertuduh kepada mahkamah, dan melaporkan diri ke pejabat SPRM setiap bulan, yang dicadangkan oleh pihak pendakwaan.

Bagaimanapun beliau menghujahkan bahawa tiada keperluan untuk tertuduh dikenakan syarat tambahan agar tidak mengganggu saksi pendakwaan atas alasan tiada asas yang menunjukkan anak guamnya itu berisiko melakukan demikian.

Sejurus mendengar permohonan kedua-dua pihak, Hakim Rosli Ahmad bersetuju dengan cadangan jumlah jaminan yang dimohon oleh pihak pendakwaan dan mengarahkan tertuduh menyerahkan pasport dan melaporkan diri di pejabat SPRM Shah Alam pada minggu pertama setiap bulan.

Mahkamah kemudian menetapkan 27 Februari depan bagi sebutan semula kes.

Sebelum ini media melaporkan seramai lapan individu termasuk seorang ketua pegawai eksekutif (CEO) dan dua pengurusan tertinggi syarikat konsensi lebuh raya direman selepas disyaki meminta serta menerima rasuah membabitkan pembinaan dua projek lebuh raya di Lembah Klang.

Susulan itu, SPRM mereman COO syarikat konsesi terbabit kerana disyaki menerima rasuah membabitkan pembinaan projek lebuh raya di Lembah Klang.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Pemuda 23 tahun jatuh 9 meter ketika baiki silo di Ipoh

SEORANG pekerja kilang berdepan detik cemas apabila terjatuh dari ketinggian kira-kira sembilan meter ketika menjalankan kerja pembaikan di sebuah...

More Articles Like This