SAKSI pendakwaan ke-12 bagi kes pengabaian kanak-kanak autistik, Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin, memberitahu Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini bahawa dia ternampak dua kanak-kanak main berkejaran ketika menyidai kain di belakang rumahnya di Apartmen Idaman Damansara Damai pada 5 Disember 2023.
Perkara itu diberitahu oleh Siti Natrah Ismail, 68, ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin pada perbicaraan hari keenam bagi kes itu di hadapan Hakim Dr. Syahliza Warnoh.
Menurut saksi itu yang merupakan penduduk di apartmen berkenaan sejak 2004, Siti Natrah Ismail memberitahu mahkamah yang dia melihat dua kelibat kanak-kanak terbabit kira-kira jam 12 lebih tengah hari, pada hari Zayn Rayyan dilaporkan hilang.
Dia yang tinggal di sebuah unit kediaman dekat aras paling bawah di Blok R apartmen itu berkata, salah seorang daripada dua kanak-kanak itu berbaju sekolah berwarna putih dan berseluar hitam sedang dikejar seorang lagi yang memakai baju putih dan juga berseluar hitam.
“Semasa saya tengah sidai kain, saya terdengar seorang budak sekolah menjerit. Kemudian saya terpandang seorang kanak-kanak pakai seluar hitam dan berbaju putih berlari ke depan. Budak sekolah tadi bila dia sampai ke satu anak pokok kelapa, dia berpatah balik kerana van sekolah sudah sampai,” ujar suri rumah itu.
Raja Zaizul Farida: Tadi puan beritahu mendengar budak sekolah menjerit, jerit macamana?
Siti Natrah: Macam budak-budak main kejar-kejar.
Raja Zaizul Farida: Dia jerit berapa kali?
Siti Natrah: Sekali sahaja.
Raja Zaizul Farida: Budak yang menjerit itu, puan dengar jeritan itu datang dari mana?
Siti Natrah: Datang dari arah tangga, depan pintu rumah saya nak menghala ke kebun.
Raja Zaizul Farida: Kebun di mana?
Siti Natrah: Belakang rumah saya, sebelah kanan.
Raja Zaizul Farida: Tadi puan beritahu budak yang pakai baju putih berlari ke depan… ‘Depan’ itu ke arah mana?
Siti Natrah: Depan pokok sukun di kebun itu juga.
Bagaimanapun saksi itu tidak dapat mengenal pasti identiti dua kanak-kanak yang bermain berkejaran itu.
Terdahulu saksi pendakwaan ke-11, Koperal Shahrul Azmi yang bertugas sebagai jurugambar dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya mengemukakan sejumlah 51 keping gambar sekitar tempat kejadian berhubung kes Zayn Rayyan.
Antara gambar yang dikemukakan ialah gambar hadapan sebuah unit rumah, gambar hadapan dan dalam bilik di dalam rumah, ruang tamu, dapur, bilik air, kasut berwarna hitam, saiz dan tapak kasut, selain sekitar kawasan semak dan hutan berdekatan Blok R.
Beliau memberitahu mahkamah bahawa gambar-gambar berkenaan diambil selepas menerima arahan daripada pegawai penyiasat, Asisten Superintendan Hafizee Ismail untuk pergi ke tempat kejadian sekitar jam 11.30 malam pada 7 Disember 2023, bersama-sama pihak forensik dari Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor
Sementara itu saksi pendakwaan ke-13 Koperal Mohammad Hunter El Jeanawie Untam memaklumkan mahkamah bahawa dia terdengar seorang lelaki yang memaklumkan dirinya sebagai bapa Zayn Rayyan mengungkapkan ‘siapa bunuh anak aku, aku nak peluk anak aku.
Mohammad Hunter yang bertugas selaku anggota polis di IPD Petaling Jaya berkata, ayat itu didengar olehnya ketika jasad kanak-kanak autistik berkenaan ditemui di atas batu pasir dalam keadaan tidak sedarkan diri dalam keadaan mengiring.
“Saya terdengar jeritan orang awam yang mengaku dirinya ayah arwah, dia kata ‘siapa bunuh anak aku, aku nak peluk anak aku’,” katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Aqharie Durranie Aziz.
Aqharie: Kamu sekadar dengar sahaja, atau nampak juga?
Mohammad Hunter: Saya dengar dan saya mengarahkan orang awam untuk menghalang tindakan ayah arwaah itu.
Terdahulu dalam keterangannya, dia pergi ke Apartmen Idaman bersama seorang lagi anggota polis, selepas menerima arahan daripada Ketua Balai Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Superintenden Azizul Zahari sekitar jam 7.30 petang pada 6 Disember 2023 bagi membantu operasi pencarian kanak-kanak hilang itu.
Selepas mendengar taklimat di sebuah dewan di Apartmen Idaman, beliau bersama 10 orang awam menghala ke Blok R apartmen itu bagi memulakan operasi pencarian.
“Saya tiba di Blok R sekitar antara jam 9.30 malam hingga 9.40 malam. Saya membahagikan orang awam kepada tiga kumpulan. Satu kumpulan buat carian di aras atas, satu di aras bawah blok, manakala kumpulan saya buat carian menelurusi anak sungai.
“Selepas membahagikan kumpulan, saya dengar orang awam menjerit ‘dah jumpa, tuan! dah jumpa, tuan!’. Kemudian saya menelusuri anak sungai tersebut sehingga menemui arwah.
“Keadaan ketika itu riuh rendah dan saya bertindak membuka ‘sweater’ saya serta menutupi jasad arwah. Kami melindungi jasad arwah daripada dihampiri dan diambil gambar oleh orang awam,” katanya.
Pada 13 Jun 2024, Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf, masing-masing berusia 30 tahun, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas pertuduhan bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, telah mengabaikan kanak-kanak itu dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal di Jalan PJU Damansara Damai, Petaling Jaya, pada jam 12 tengah hari, pada 5 Disember 2023 hingga keesokannnya pada jam 9.55 malam.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Penulis merupakan Pengarang Multimedia/wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lima tahun dalam dunia kewartawanan.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2023, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat penyiaran/portal lain sejak tahun 2021.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama mahkamah, jenayah dan politik.

