AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning, Ishsam Shahruddin meninggal dunia selepas menyertai Kejohanan Bola Sepak 4 Penjuru di Stadium Bandaraya, Georgetown, Pulau Pinang hari ini.
Dalam kejadian sekitar jam 6 petang itu, beliau yang juga bekas pemain bola sepak sempat diberikan rawatan awal di lokasi kejadian selepas beraksi bersama bekas pemain kebangsaan lain dari Perlis, Pulau Pinang, Kedah dan Perak.
Difahamkan wakil rakyat berusia 59 tahun itu dilaporkan menghembus nafas akhir ketika dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang bagi mendapatkan rawatan.
Perkara itu dimaklumkan oleh rakannya, Mohd Zakaria Mohamad yang juga bekas pemain bola sepak Perak ketika dihubungi media di sini.
Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Rozlita Abdullah dan empat orang anak.
“Allahyarham dikatakan rebah ketika berbual dan bergambar dengan beberapa rakan bekas pemain dari negeri lain sekitar jam 6 petang lebih sikit,” katanya Mohd Zakaria kepada media ketika dihubungi di sini.
Menurutnya, pasukan perubatan kemudiannya memberi rawatan awal sebelum dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang.
“Allahyarham dikatakan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Pulau Pinang,” ujarnya.
Allahyarham menjadi ADUN Ayer Kuning pada penggal pertama selepas menang dalam Pilihan Raya Umum ke-15 pada 2022 lalu.
Dalam Pilihan Raya itu Allahyarham menang dengan majoriti 2,213 undi selepas mendapat 9,088 undi mengalahkan Calon Pakatan Harapan (PH) Mohd Nazri Hashim (PH) yang mendapat 6,875 undi dan Muhammad Noor Farid Zainal (PN-Pas) 6,812 undi.

