JEMAAH Menteri menerima baik sebarang teguran serta kritikan berhubung prestasi mereka dan akan mengambil langkah memperbaikinya, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata pada Permukiman Jemaah Menteri Kerajaan MADANI 2025, Ahli Kabinet telah mendengar laporan serta pandangan bebas mengenai prestasi mereka yang dibentangkan ahli akademik dan penjawat awam.
“Kemudian kita beri ruang kepada menteri untuk berikan pandangan mereka tentang iltizam dan komitmen untuk meningkatkan prestasi. Setakat ini saya tidak mengatakan semuanya sempurna, tetapi prestasinya (Jemaah Menteri) membanggakan kerana mereka ambil serius teguran yang mereka terima dan mengambil langkah-langkah yang perlu untuk memperbaiki prestasi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media berhubung Permukiman Jemaah Menteri Kerajaan MADANI 2025 di Bangi hari ini.
Perdana Menteri berkata permukiman itu membincangkan mengenai keperluan bagi kerajaan untuk melihat semula pendekatan diambil bagi mengurangkan kesan inflasi kepada rakyat.
Anwar berkata walaupun terdapat statistik yang menunjukkan prestasi membanggakan namun masih ada beberapa masalah yang harus kerajaan selesaikan seperti kenaikan harga barang.
“Walaupun angka-angka statistik menunjukkan inflasi kita rendah, rakyat mengeluh tentang kenaikan harga barang, terutamanya barang perlu (barangan asas).
“Ini satu cabaran yang kita beri penekanan kerana kita faham bahawa angka-angka tentang lonjakan ekonomi, peningkatan pelaburan dan keamanan serta tarikan pelancongan itu hanya lebih bermakna sekiranya kita dapat kawal kenaikan harga yang membebankan sebahagian rakyat kita,” katanya.
Sementara itu Anwar menegaskan tiada keperluan untuk beliau terbabit dalam perbincangan berhubung isu penyaluran peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang.
Perdana Menteri berkata, beliau sudah memberikan mandat penuh kepada Timbalan Perdana Menteri (TPM), Datuk Seri Fadillah Yusof dengan perkara itu dipersetujui semua Jemaah Menteri dan parti komponen dalam Kerajaan Madani.
“Kita sudah beri mandat penuh kepada TPM (Fadillah) untuk menemui mereka tetapi seperti mana kita tahu dah dua tahun mereka berdolak-dalih. Kita tak ada masalah dan dah beri ruang.
“Tak perlu saya sendiri (jumpa pembangkang). (Sekiranya) saya nak jumpa secara berasingan, tak mengapa. Jadi saya rasa boleh (jika nak PM berjumpa pembangkang) cuma jangan dihebahkan di luar, mesti ada jalur (yang betul) untuk adakan perjumpaan,” katanya.
Semalam, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul menyarankan supaya pihak pembangkang berjumpa dan berbincang dengan Perdana Menteri berhubung isu penyaluran peruntukan kepada Ahli Parlimen blok berkenaan.
Johari berkata, keputusan untuk memberikan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang adalah berdasarkan keputusan Perdana Menteri sendiri.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, isu itu bukanlah perkara baharu dan tidak sepatutnya diperbesarkan.
“Bincanglah dengan baik, ini tidak, mereka belum apa-apa dah tuduh kita minta sokong PM, sedangkan tidak ada langsung syarat dikemukakan,” katanya.

