Jangan biarkan Ramadan berdarah berulang di Selatan Thailand

Dari Penulis

PADA 17 April 2024 ketika umat Islam sedang melaksanakan ibadah puasa, berlaku dua peristiwa trajis di Selatan Thailand apabila seorang anggota RELA Ruslee Daleng dibunuh di sebuah tanah perkuburan di daerah Tan To, Yala.

 Paling memilukan, perbuatan kejam oleh puak pemisah tersebut dilakukan ketika Allahyarham Ruslee sedang membaca al-Quran di hadapan kubur bapanya. Peristiwa itu mengejutkan umat Islam di wilayah berkenaan.

 Mereka tidak menyangka sama sekali bahawa puak pengganas yang mengaku berjuang untuk penduduk Islam sanggup melakukan tindakan ganas di bulan suci tersebut.

 Sebulan sebelum itu, pada 28 Mac 2024 di bazar Ramadan Dusun Nyor, Narathiwat, seorang wanita Nurizan Promsri yang sedang menjual juadah berbuka puasa mati ditembak oleh puak pemisah.

Dua peristiwa hitam itu pasti bermain di fikiran umat Islam Selatan Thailand yang menyambut Ramadan semalam. Seperti umat Islam lain, mereka juga gembira dan teruja untuk menyambut kehadiran Ramadan namun persoalannya adakah puak pemisah seperti Barisan Revolusi Nasional (BRN) akan membenarkan penduduk Islam meraikan kegembiraan pada bulan penuh keberkatan itu?

 Kalau benar berjuang mereka untuk kesejahteraan umat Islam,  BRN tidak akan ‘menyimbah darah’ di bumi Selatan Thailand sepanjang Ramadan tahun ini. Namun berdasarkan perkembangan terkini di wilayah itu, rasanya harapan itu mungkin akan ‘berkubur’ lagi.

  Puak pemisah tidak menunjukkan tanda-tanda mahu melihat umat Islam dapat berpuasa dengan tenang atau mengizinkan anggota keselamatan memastikan umat Islam beribadah dengan damai.

Ia terbukti apabila 48 jam sebelum fajar Ramadan menyingsing di ufuk timur, seorang pegawai kanan polis mati ditembak ketika dia pulang dari solat di sebuah masjid di wilayah Pattani, selatan Thailand pada 28 Februari lalu, lapor portal berita Thaiger.

Leftenan (Polis) Muhammad Azan Jamae

Pegawai tersebut yang dikenali sebagai Leftenan (Polis) Muhammad Azan Jamae, 58, diserang hendap di luar rumahnya di Ban Kalupe, daerah Sai Buri, sejurus selepas meninggalkan masjid.

Sebelum itu,  ada 14 Februari lalu, di Thepa, Songhla berlaku kejadian mengugut anggota RELA beragama Islam supaya tidak menjadi hamba Siam (pemerintah Thailand) melalui tulisan menggunakan cat di jalan raya dan di tembok.

 Keadaan itu membuktikan tidak kira apapun bulan sama ada suci atau tidak, puak pemisah tidak akan menghentikan agenda mereka untuk mewujudkan kekacauan dan meragut kedamaian di Selatan Thailand.

 Mereka bagaikan gelisah atau tidak senang duduk apabila melihat penduduk Islam hidup aman damai dan dapat menjalani ibadah puasa dengan tenang. Ia seolah-olah membuktikan jika kadaan itu berlaku, agenda mereka untuk memporak perandakan Selatan Thailand tidak akan berjaya.

Kalaulah kumpulan BRN tidak mempunyai niat sedemikian dan benar-benar berjuang untuk umat Islam, mereka sama sekali tidak seharusnya mengkhianati umat Islam di wilayah itu menjalani ibadah puasa dengan penuh ketenangan.

 Sebelum ini pemerintah Thailand yang dianggap penjajah oleh puak pemisah telah melakukan pelbagai usaha bagi memastikan penduduk Islam dapat menjalankan ibadah dalam bulan Ramadan dengan aman. Ia dapat dilihat melalui tindakan National Security Council (Majlis Keselamatan Negara) yang mengisytiharkan Ramadan Aman pada 28 Februari lalu.

Pengisytiharan itu mendapat kerjasama daripada pasukan tentera darat (4 Army Area) dan pasukan keselamatan lain yang bertujuan memastikan penduduk Islam Selatan Thailand dapat beribadah dengan aman dan selamat.

Selain mempertingkatkan tahap kawalan keselamatan, jumlah sekatan jalan raya juga dikurangkan bagi memberi keselesaan kepada penduduk Islam menjalankan aktiviti di bulan tersebut dengan lancar.

 Kalau dikaji apa yang dilakukan oleh pemerintah Thailand, ia membuktikan mereka sedang berusaha bersungguh-sungguh untuk mencipta suasana aman, damai dan selamat di Selatan Thailand sepanjang masa termasuklah pada bulan Ramadan.

 Tetapi malangnya puak pemisah tidak menunjukkan komitmen yang sama sebaliknya mereka mengugut anggota keselamatan beragama Islam dan membunuh pula penduduk Islam yang tidak menyebelahi mereka.

 Kejadian terbaru ialah pada 20 Februari lalu apabila seorang pekebun mati ditembak oleh puak pemisah di hadapan rumahnya di daerah Chanet, Narathiwat.

 Keadaan seperti itulah yang akan memungkinkan bukan sahaja bumi Selatan Thailand akan bersimbah dengan darah di bulan Ramadan malah memberikan isyarat awal bahawa puak pemisah sama sekali tidak akan membiarkan wilayah itu aman.

Dalam soal ini keikhlasan pemerintah Thailand untuk membela nasib penduduk Islam dan membawa kemakmuran di wilayah bergolak itu lebih terserlah apabila bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra sanggup turun ke Narathiwat pada 24 Februari lalu.

 Dengan jiwa besar, Thaksin dengan rendah diri sanggup memohon maaf kepada penduduk Islam berikutan pembunuhan beramai-ramai di Tak Bai 25 Oktober 2004. 

 Walaupun apa yang berlaku bukan kesilapan beliau sebagai Perdana Menteri tetapi Thaksin berkata,’’ Jika kesilapan telah dilakukan sehingga menimbulkan perasaan tidak puas hati dalam kalangan rakyat, saya ingin memohon maaf agar dapat membantu menyelesaikan masalah ini.’’

Biarpun mengetahui risiko yang mungkin menanti berikutan permohonan maaf itu tetapi Thaksin sanggup berbuat demikian kerana beliau mempunyai misi lebih besar iaitu mewujudkan kedamaian dan menyelesaikan konflik di Selatan Thailand.

 Hasrat Thaksin itu sudah tentulah boleh dijadikan jaminan bahawa pemerintah Thailand akan memastikan suasana aman di wilayah berkenaan sepanjang Ramadan, tetapi bagaimana dengan puak pemisah?

Umat Islam bersyukur dapat menyambut bulan ramadan serta dapat menunaikan solat tarawih di Masjid Jamek Pattani, Selatan Thailand,
GAMBAR: Abd Razak Aid

 Setakat ini penulis tidak nampak BRN akan menghentikan perbuatan ganas mereka namun pada masa sama penulis juga menaruh sedikit keyakinan jika mereka benar-benar memahami serta melaksanakan ajaran Islam mereka tidak akan menumpahkan darah di bulan suci itu.

 Firman Allah SWT dalam surah Al-Anfal ayat 61 dan 62 bermaksud: 

‘’…Dan jika mereka cenderung kepada perdamaian, maka hendaklah engkau cenderung pula kepadanya. Dan bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

‘’Dan jika mereka hendak memperdayakan engkau, maka sesungguhnya cukuplah Allah (menjaga dan memberi perlindungan) kepadamu. Dialah yang akan meneguhkan engkau dengan pertolongan-Nya dan dengan  (sokongan) orang-orang yang beriman.’’

Ayat ini adalah peringatan kepada umat Islam jika musuh ingin berdamai tetapi pemerintah Thailand bukanlah musuh kepada penduduk Islam di Selatan Thailand sebaliknya mereka berusaha memastikan kesejahteraan golongan itu dan sanggup pula membuka pintu rundingan dengan puak pemisah.

 Oleh itu sempena Ramadan kali ini diharapkan ia bukan sahaja akan membuka jalan perdamaian di Selatan Thailand tetapi juga membuka hati pemimpin-pemimpin BRN untuk memilih jalan yang diperintah oleh Allah SWT dalam surah Al-Anfal tersebut.

 Izinkanlah umat Islam beribadah dengan tenang di bulan suci itu. Agak pelik jika setiap kali perhimpunan anak muda, ada individu melaungkan kata-kata wilayah berkenaan bagaikan Gaza.

 Tetapi yang anehnya tidak ada gerakan tentera Thailand membunuh, mengusir  penduduk Islam atau menghancurkan rumah mereka, sebaliknya saban hari ada sahaja penduduk Islam atau anggota keselamatan beragama Islam yang dibunuh oleh puak pemisah, maka timbul persoalan siapa sebenarnya yang bagaikan melaksanakan ‘misi rejim Zionis’ di wilayah itu?

Apapun penulis masih percaya puak pemisah masih mempunyai niat yang baik demi penduduk Islam namun pendekatan digunakan adalah salah. Oleh itu berusahalah memilih jalan damai untuk membuat tuntutan sebelum pintu rundingan ditutup oleh pemerintah Thailand. 

 Semoga fajar Ramadan kali ini benar-benar  membawa keinsafan kepada puak pemisah seterusnya memberi kebahagiaan kepada penduduk Islam. Jangan biarkan  Ramadan berdarah berulang di Selatan Thailand.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

UMNO berhak tentukan hala tuju sendiri menjelang pilihan raya – Asyraf Wajdi

UMNO menegaskan parti itu mempunyai hak mutlak untuk menentukan pendirian dan hala tuju politiknya sendiri menjelang mana-mana pilihan raya,...

More Articles Like This