Isma, Zaim gagal batal pertuduhan abai Zayn Rayyan

Auzaee Athallah
Auzaee Athallah
Penulis merupakan Pengarang Multimedia/wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lima tahun dalam dunia kewartawanan. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2023, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat penyiaran/portal lain sejak tahun 2021. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama mahkamah, jenayah dan politik.

Dari Penulis

IBU dan bapa kepada kanak-kanak autistik, Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin gagal dalam permohonan mereka bagi membatalkan pertuduhan mengabai kanak-kanak terbabit di Mahkamah Tinggi Shah Alam, hari ini.

Hakim Roszianayati Ahmad menolak notis usul pasangan suami isteri itu, Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf, masing-masing berusia 30 tahun, agar dilepas dan dibebaskan atas pertuduhan terbabit.

“Mahkamah telah meneliti notis usul dan eksibit difailkan, mahkamah memutuskan menolak permohonan ini. Saya juga sudah meneliti pertuduhan dan mendapati tiada kecacatan dalam pertuduhan itu,” katanya.

Ketika membacakan keputusannya, beliau berkata pertuduhan yang dikenakan ke atas Zaim dan Isma selaku pemohon adalah memenuhi intipati-intipati kesalahan selain ia menepati Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.

“Mahkamah mendapati pertuduhan yang didraf telah memberikan masa yang cukup kepada pemohon-pemohon yang dikatakan telah mengabai kanak-kanak berkenaan dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal terhadap kanak-kanak itu.

“Pasukan pendakwaan mempunyai beban untuk membuktikan cara bagaimana pengabaian itu dilakukan iaitu melalui keterangan-keterangan yang akan dikemukakan.

“Di samping itu, pendakwaan juga mempunyai beban untuk membuktikan pengabaian itu mestilah sesuatu yang mungkin menyebabkan kecederaan kepada kanak-kanak berkenaan,” ujar hakim itu lagi.

Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak permohonan pasangan, Zaim Ikhwan Zahari dan isterinya, Ismanira Abdul Manaf untuk membatalkan pertuduhan serta dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan mengabaikan anak mereka, Allahyarham Zain Rayyan Abdul Matiin. GAMBAR: Abd Razak Aid

Sementara itu ketika ditemui oleh media selepas prosiding itu selesai, peguam Lavanesh Haresh Mahadevan berkata pasukan pembelaan akan berbincang terlebih dahulu dengan anak-anak guamnya selain mendapatkan arahan sama ada perlu memfailkan rayuan bagi permohonan sama di Mahkamah Rayuan.

Sehubungan itu, perbicaraan bagi kes itu bersambung lagi sepertimana yang dijadualkan di hadapan di hadapan Hakim Dr. Syahliza Warnoh, di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada 11 Mac ini.

Ketika prosiding, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmahd Zuhaini Mahamad Amin manakala Zaim dan Isma diwakili oleh peguam Marcus Lee

Pada 23 Januari lepas, Zaim dan Isma dilaporkan telah memfailkan permohonan kepada Mahkamah Tinggi Shah Alam agar dibebaskan serta-merta daripada pertuduhan mengabai anak sulung lelaki mereka itu.

Berdasarkan notis usul itu, Zaim dan Isma memohon agar kes yang dihadapi mereka dibatalkan atas alasan pertuduhan yang dibuat pada 13 Jun tahun lalu, tidak mendedahkan sebarang kesalahan di bawah Seksyen 31 Akta Kanak-kanak 2001.

Pasangan itu turut mendakwa bahawa pertuduhan itu tidak mengandungi maklumat yang mencukupi mengenai unsur-unsur kesalahan yang didakwa dilakukan.

Sementara itu, menerusi affidavit sokongan yang difailkan bersama notis usul tersebut, mereka juga mendakwa tidak menemui butiran mengenai kesalahan yang didakwa telah dilakukan sepertimana di dalam pertuduhan sehingga mereka gagal memberikan arahan kepada peguam selain tidak dapat membela diri.

Pada 13 Jun 2024, Zaim dan Isma mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas pertuduhan bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, telah mengabaikan kanak-kanak itu dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal di Jalan PJU Damansara Damai, Petaling Jaya, pada jam 12 tengah hari, pada 5 Disember 2023 hingga keesokannnya pada jam 9.55 malam.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

MCA akui pengundi Cina kini kecewa namun tak anggap boleh diterjemah dalam bentuk undi

HASIL kajian lapangan dilakukan oleh MCA mendapati bahawa rata-rata pengundi Cina kini berada dalam keadaan kecewa khususnya dengan apa...

More Articles Like This