AKTOR popular Datuk Aaron Aziz berharap dapat menyumbang kepada masyarakat selepas menerima Anugerah Bintang Usahawan Negara 2025.
Aaron atau nama lengkapnya Aaron Mustapha Aziz,49, turut bersyukur dengan pengiktirafan yang diberikan kepadanya.
“Ini satu penghargaan dan penghormatan yang besar buat saya. Saya hargai sangat-sangat dan harap dapat sumbang semula pada masyarakat. Selain saya akan jaga nama ‘Datuk Datuk’ di Malaysia,” katanya.
Perkenalan selama 14 tahun dengan Presiden Dewan Perniagaan Datuk Dato’ Malaysia (DPDDM) iaitu Datuk Nor Hasnal Hasmi, diharap dapat memberi bakti kepada sermua pohal.
Selain Aaron, Presiden KRU Group, Datuk Norman Abdul Halim, antara penerima Anugerah Bintang Usahawan Negara 2025 yang dianjurkan oleh DPDDM baru-baru ini.
Pada majlis sama itu juga, pelakon dan pengarah terkenal A.R Badul turut diberi penghargaan sama.

Sementara itu, Aaron yang juga duta anti-buli akan terlibat dengan beberapa program yang sudah dirangkan awal.
“Bermula April hingga Jun depan, saya akan sibuk dengan program anti-buli bagi membanteras buli di sekolah.
“Selain itu, filem lakonan dengan Global Station iaitu 5 Bomoh sudah selesai penggambaran dan ketika ini sedang dalam proses suntingan.
“Filem itu adalah filem terbitan syarikat saya sendiri, Aaron Aziz Productions,” kongsinya.

Malah, Aaron juga bakal bekerjasama dengan produksi dari India yang dianggap sebagai peluang keemasan untuk melebarkan sayap ke peringakat antarabangsa.
“April ini nanti ada lagi filem dengan produksi dari India. Saya akan berlakon dan pada masa sama bertindak sebagai pengarah bersama.
“Buat masa ini saya rahsiakan dahulu judul dan barisan pelakon India yang terlibat.
“Saya terima tawaran itu selepas melihat skrip mereka yang sangat menarik. Mereka sendiri ambil masa terbang ke Malaysia untuk bertemu dengan saya,” ulasnya.
Sepanjang terlibat dalam bidang seni, Aaron sudah mengarahkan tiga buah filem.
“Saya sukakan filem aksi jadinya bulan Jun nanti akan ada satu lagi filem berdasarkan kisah benar tentang gangsterism.
“Jalan ceritanya tak sama seperti filem KL Gangster. Saya hanya bagi jalan cerita saja, skrip ada penulis yang dipertanggungjawabkan,” katanya.
Bukan tidak yakin untuk menulis skrip sendiri, namun bapa kepada tiga orang anak itu mahu berkongsi rezeki dengan kru produksi lain.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

