DAP, MCA dan Gerakan – sarang tebuan jangan dijolok, hormati Perlembagaan

Dari Penulis

OLEH: KAMAL SHUKRI ABDULLAH SANI

NAMPAKNYA DAP tidak habis-habis kelihatan cuba “menjolok sarang tebuan” apabila Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong mencadangkan agar sejarah semua kaum dimasukkan dalam teks sekolah rendah.

Setelah dikritik oleh bekas Menteri Pendidikan, Maszlee Malik, Poay Tiong menambah bahawa langkah tersebut dapat memupuk perpaduan sejak usia muda lagi.

Ahli Majlis Eksekutif Nasional Pemuda DAP, Jason Tze-Xi Nathan pula mengkritik bahawa ahli politik tanpa latar belakang pendidikan dan pedagogi juga sepatutnya dibolehkan memberi pandangan tentang kurikulum sejarah tersebut.

Hujah Poay Tiong yang amat tepat dan bernas ialah perpaduan perlu dipupuk seusia muda lagi. Tiada langsung perselisihan tentang hal ini.

Tepat sekali, tetapi nampaknya Poay Tiong hanya nampak isu buku teks sejarah tetapi tidak ternampak isu sebenar yang lebih asas, besar dan mendasar berkaitan perpaduan semua kaum di Malaysia.

Buat Poay Tiong dan semua yang sepemikiran dengannya tanpa mengira parti dan warna kulit, sukacita kami mengingatkan kembali bahawa itulah sebabnya selama ini banyak pihak termasuk Badan Bukan Kerajaan (NGO) menyarankan diwujudkan sekolah satu aliran sahaja agar semua kanak-kanak bergaul bersama-sama sejak usia muda lagi ketika umur baru setahun jagung.

Bayangkan alangkah beruntungnya kanak-kanak, seawal umur enam tahun yang masih segar dapat bersekolah bersama-sama, bergaul dan bermain.

Ingatlah mesej puisi tahun 60-an Sasterawan Negara, Usman Awang “Gadis Tionghua” dan ayat “Iskandar dan Ah Chiew dengan hingus dan gigi sebatang bermain bersama” dalam puisinya. Kalau sekolah sudah berbeza dan terpisah bagaimana mahu “main” bersama?

Sepatutnya Khoo Poay Tiong dan Jason Tze-Xi Nathan mencadangkan juga agar buat masa terdekat sekurang-kurangnya sejarah di sekolah jenis kebangsaan diajar dalam bahasa kebangsaan negara ini dan seterusnya menyokong sekolah satu aliran secara berperingkat.

Sekolah satu aliran dengan satu bahasa penghantar tidak akan menindas sesiapa pun. Penulis pernah mengatakan bahawa langkahlah “mayat” penulis dahulu jika mahu menghapuskan bahasa Mandarin di negara ini, tetapi dalam konteks rasmi di negara ini hanya bahasa Melayu wajib digunakan termasuk dalam bidang pendidikan dan juga di papan tanda di seluruh negeri.

Rakyat negara ini yang setia, pastinya sudah fasih bahasa Melayu dan tiada lagi keperluan untuk menggunakan bahasa lain secara bersama bagi tujuan rasmi. Malah sangat munasabah dan beruntung jika satu aliran dilaksanakan.

Bahasa Mandarin diwajibkan kepada pelajar Cina, Tamil wajib bagi pelajar India dan Mandarin misalnya digalakkan sebagai subjek pilihan kepada pelajar Melayu, India dan lain-lain.

Maka di sekolah satu aliran tersebut akan tersedialah ruang waktu yang lebih banyak untuk pelajar pelbagai bangsa dan kaum belajar, bergaul, bermain, bersukan dan sebagainya bersama-sama.

Persefahaman, saling memahami budaya, bahasa akan lebih mudah dipupuk bagi mewujudkan “jiwa bangsa Malaysia” kerana kita telah melentur buluh semasa rebungnya berbanding realiti semasa.

Semoga KPM berani melaksanakannya demi kepentingan pembinaan negara bangsa bagi masa hadapan yang lebih gemilang dan perpaduan yang lebih jitu berbanding menggunakan “kuasa” khas dengan membuat sesuatu yang dalam jangka panjang tidak pun menguntungkan.

Tempoh 70 tahun ini sudah lebih daripada cukup untuk membuktikan kenyataan tersebut dan kita tidak patut membazir masa lagi. Tujuh puluh tahun bukan masa yang singkat, pendidikan dan perpaduan telah dilihat semacam dipolitikkan oleh banyak pihak demi kepentingan sempit berbanding kepentingan pendidikan, perpaduan dan negara.

Kita semua tahu bahawa Tuhan menjadikan semua bangsa di dunia ini termasuk Melayu, Tionghua, India dan lain-lain. Natijahnya untuk saling berkenalan dan bukan bermusuhan.

Bahasa juga kurniaan Tuhan misalnya bahasa Melayu kepada orang Melayu, Mandarin kepada orang Tionghua, Tamil kepada orang India.

Maka sebagai anugerah dan kurniaan Tuhan tidaklah boleh mana-mana bahasa di dunia ini dibenci oleh mana-mana pihak atau bangsa termasuk di Malaysia.

Tetapi amat jelas seperti peruntukan fasal dalam Perlembagaan bahawa walau apapun, dalam konteks urusan rasmi khasnya yang meliputi semua ranah kehidupan seperti pendidikan, ekonomi, undang-undang dan kehakiman, pentadbiran, mesyuarat kabinet, dokumen dan lain-lain, bahasa Melayu wajib dihormati dan digunakan dalam seratus peratus amalan seharian selaras dengan peruntukan undang-undang, pekeliling, akta dan Perlembagaan Persekutuan Perkara 152.

Jika hanya sekadar buku teks dan kurikulum sahaja yang sama sekalipun, tetapi mereka yang berlainan bangsa dan kaum tersebut masih terus belajar secara terpisah-pisah malah seolah-olah “sengaja” dipisahkan secara “halal”(?), di manakan perpaduan sejati dapat disemai?

Baca artikel lain: Usaha KPM pertingkat penguasaan bahasa Inggeris disokong 100% kecuali program DLP

Mereka terpisah dan dipisahkan bukan setahun dua, malah sehingga enam tahun malah sebelas tahun. Pelajar yang sama akan terpisah lagi di peringkat universiti setidak-tidaknya tiga, empat tahun. Lebih malang apabila terus terpisah hingga ke alam pekerjaan bertahun-tahun.

Akal yang waras akan jelas mengapa hampir 70 tahun isu perpaduan masih menghantui ranah kehidupan di negara ini. Jangan disalahkan mengapa kek itu tidak bulat jika kita yang gunakan acuan tiga segi walaupun acuan yang bulat di tepi dulang sahaja.

Hayatilah dengan sesungguhnya akan pepatah “melentur buluh hendaklah dari rebungnya”, bukan setelah buluh menjadi tua. Dibengkokkan patahlah buluh itu.

Memasukkan peristiwa dan sesuatu unsur yang berkaitan dalam teks sejarah bukanlah mustahil jika memenuhi aspirasi pembentukan perpaduan, jati diri di samping membina semangat dan jiwa Malaysia.

Justeru sejarah negara ini sejak ribuan tahun dahulu yang berteraskan peradaban ketuanan Melayu dan Islam wajib menjadi unsur teras sejarah bagi memantapkan minda generasi muda sebagai generasi yang bermaklumat dan fasih tentang asal-usul negara dan bangsa.

Terima hakikat sejarah negara ini yang bermula sebelum kerajaan Melayu Melaka lagi. Perubahan mungkin telah dilakukan. Seingat penulis, dulu-dulu memang ada belajar sejarah kisah Laksamana Cheng Ho dan Yin Ching yang beragama Islam dan kisah Puteri Hang Lipo. Memang wajar sejarah sebenar yang berlaku dinukil dalam teks sejarah sekolah rendah dan menengah.

Agak malang subjek sejarah di sekolah rendah jenis kebangsaan tidak diajarkan dalam bahasa rasmi negara ini sedangkan pengajaran adalah tugas rasmi?.

Tidakkah YB Poay Tiong berasa aneh mempelajari sejarah negara sendiri, di sekolah negara ini tetapi tidak menggunakan bahasa Melayu, bahasa rasmi yang sewajibnya dikuasai oleh semua rakyat Malaysia?.

Seperkara lagi, baru-baru ini timbul isu sekolah jenis kebangsaan kekurangan murid Cina. Tindakan yang terbaik yang patut dilakukan ialah menukar status sekolah tersebut kepada sekolah kebangsaan walaupun pasti ada yang tidak setuju.

Terimalah hakikat bahawa sekolah tersebut juga mulai kurang sambutan walaupun sebelum ini sering digembar-gembur sekolah kebangsaan kurang berkualiti, bermasalah disiplin berbanding sekolah jenis kebangsaan yang kononnya lebih berkualiti, berdisiplin dan sebagainya sedangkan hakikatnya lebih kurang juga dengan sekolah kebangsaan, cuma mungkin kurang dilaporkan oleh media atau media tertentu sahaja yang melapor kepincangan tersebut.

Ironi sekali, sekolah kebangsaanlah membekalkan puluhan ribuan lulusannya ke sekolah berasrama penuh, MRSM dan sekolah elit lain selama tujuh dekad ini. Fakta yang mudah dilupai oleh kita semua.

Apatah lagi dengan saran pihak tertentu agar pengisian kekosongan sekolah jenis kebangsaan tersebut dibuat dengan pengisian “ihsan” pelajar Melayu yang berhampiran.

Promosi juga terpaksa dibuat agar sekolah tersebut tetap laku. Kononnya akibat keinginan yang menbuak-buak untuk menguasai Mandarin menyebabkan banyak ibu bapa Melayu menghantar anaknya ke situ.

Mungkin pihak KPM tidak dimaklumkan sebab sebenar “kebanjiran” pelajar Melayu lebih daripada pelajar Cina di beberapa sekolah tersebut.

Antaranya penulis sendiri pernah dimaklumkan terdapat misalnya di satu kawasan yang banyak penduduk Melayu tetapi tiada sekolah kebangsaan berhampiran kecuali sekolah jenis kebangsaan. Maka tanpa pilihan terpaksalah berduyun ibu bapa Melayu menghantar anak mereka ke sekolah jenis kebangsaan tersebut akibat masalah tempat kerja yang jauh dan sebagainya.

Ada juga yang berfikiran ingin anak mereka menguasai bahasa Mandarin walaupun belum tentu akan berhasil seperti yang diharapkan. Malah difahamkan sedikit masa lalu ada status tapak sekolah kebangsaan di Puchong khabarnya, yang ditukar statusnya kepada sekolah jenis kebangsaan walaupun agak kritikal kerana tiada sekolah kebangsaan terdekat di situ.

Lebih mengejutkan pengisian murid di situ nanti difahamkan oleh bukan anak-anak di situ tetapi dari luar kawasan. Alangkah ruginya, kisah Mak Sirandang berulang lagi. Keadaan sebegini sepatutnya tidak berlaku dan kerugian bagi pembinaan negara bangsa harus dielakkan.

Isu banyak ibu bapa yang mahu anak mereka menguasai bahasa Mandarin juga sebenarnya menunjukkan bahawa sudah tiba masanya untuk KPM mengambil tindakan berani dan segera, mewujudkan guru dan kelas Mandarin di sekolah kebangsaan sebagai pilihan bagi anak Melayu, Tionghua dan lain-lain di sekolah tersebut dan bukannya memperbanyak sekolah jenis kebangsaan yang turut dipertikai akan statusnya.

Sekolah jenis kebangsaan yang tidak cukup murid adalah lebih baik ditukar status kepada sekolah kebangsaan dengan ditambah baik dan mewujudkan kelas Mandarin sebagai subjek pilihan.

Kajian banyak pihak menunjukkan kelemahan ketara bahasa Melayu murid sekolah jenis kebangsaan sehingga boleh menjejaskan kemahiran lain termasuk berhubung dan berkomunikasi dengan pelajar Melayu khususnya.

Isu perpaduan juga turut terkait dalam hal ini. Sudah tentu pergaulan menjadi lebih sukar dan boleh menjejaskan perpaduan sebagaimana yang kita sedia maklum melalui isu perpaduan yang semacam tidak beres walaupun sudah hampir 70 tahun merdeka berbanding dengan negara jiran Indonesia, Thailand dan Filipina.

Banyak kenyataan yang benar tetapi pahit yang wajib diakui oleh Kementerian Pendidikan dan Kementerian Perpaduan. Selagi perkara asas yang menjadi dasar yang terkait dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan, Dasar Kebudayaan Kebangsaan tidak ditangani secara jujur dan ikhlas tanpa kompromi demi kepentingan negara, maka perpaduan seumpama sekarang yang hanya sekadar di kulit akan berterusan sampai bila-bila.

Konsep persefahaman antara kaum lebih bermakna berbanding konsep bertolak-ansur iaitu semua pihak saling memahami akan adat resam, budaya dan sejarah asal-usul kewujudan pelbagai bangsa di negara ini, menghayati prinsip Rukun Negara, memahami dan menerima pancang asas dan tunggak negara, menerima hakikat sejarah dan tamadun negara, maka sifat menghargai serta menghormati akan tersemai dan membenihkan “jiwa Malaysia” yang sejati sebagai kesatuan warganegara ini.

Ketika itu barulah perpaduan sebenar akan wujud dan tiada keperluan lagi akan Kementerian Perpaduan. Cukuplah peranan yang besar dimainkan oleh Kementerian PENDIDIKAN sebagai tunggak pembinaan negara bangsa di Malaysia.

Jika tidak, kita hanya boleh berangan-angan tentang perpaduan sejati dan berpura-pura sahaja sedangkan pada hakikat sebenarnya umpama api di dalam sekam atau berada dalam bom masa yang bisa memusnahkan impian murni kita.

Semoga semua pihak mengambil iktibar setiap peristiwa yang berlaku dan tidak sesekali cuba menjolok sarang tebuan sama ada tinggi atau rendah.

Penulis adalah Pengerusi Biro Insan Rabbani dan Komuniti Madani, Majlis Perundingan Melayu (MPM)

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Akmal cabar PM buang semua MP UMNO jika BN tiada peranan

KETUA Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, mencabar Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, menyingkirkan semua Ahli Parlimen UMNO daripada...

More Articles Like This