KSN buat lawatan mengejut ke UTC Kuantan

Dari Penulis

PERKHIDMATAN beberapa agensi kerajaan di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kuantan perlu ditambah baik bagi melancarkan urusan di kaunter, di samping memastikan isu melibatkan kepuasan pelanggan dapat diatasi, kata Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan mengejut ke Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Imigresen (JIM) di UTC Kuantan, menerusi hantaran video berdurasi 1 minit 52 saat yang dimuat naik menerusi laman Facebook malam tadi.

Dalam lawatan itu, Shamsul Azri berkata beliau mendapati perkhidmatan di kaunter JPJ perlu ditambah baik dengan penambahan kerusi menunggu serta penambahan kaunter, disebabkan kesesakan orang ramai yang datang untuk memperbaharui cukai jalan.

Menerusi rakaman video itu, beliau yang dilihat menghubungi sendiri pihak berkaitan telah memaklumkan masalah tersebut dan mahukan tindakan segera diambil bagi memastikan penyampaian perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.

“Isunya – UTC Kuantan ini ramai (pelanggan) dari Kelantan, Terengganu untuk ambil servis, terutama dari Kemaman. Jadi satu penambahbaikan – boleh tambahkan kerusi untuk menunggu. Sebab ada yang menunggu, berdiri sampai 45 minit hingga sejam.

“Yang kedua, tambah lagi satu kiosk untuk yang (memperbaharui) cukai jalan. Apabila tanya mereka (pelanggan), mereka tunggu dalam sejam. Ini dalam masa tiga jam, pengunjung dah 300 lebih. Setiap lorong, setiap kaunter dah ‘trip’ 80 orang purata (menunggu), sebab ramai dari Kelantan dan Terengganu turun,” katanya.

Baca artikel lain: Bantuan persekolahan bukti kerajaan ikhtiar bantu rakyat – Shamsul Iskandar

Shamsul Azri berkata lawatan mengejut itu memberi gambaran jelas mengenai aspek yang perlu ditambah baik di UTC Kuantan, dan hasil pemeriksaan di kaunter JPJ, JPN dan JIM, beliau melihat sendiri penyampaian perkhidmatan diberikan para petugas, dan beliau menyifatkan petugas begitu komited dan berdedikasi.

“Susulan itu, saya terus menghubungi semua pihak terlibat untuk diberi maklum, dan saya dapat laporan petang tadi (semalam) tindakan segera telah pun diambil,” katanya.

Hantaran tersebut turut mendapat tanda suka lebih daripada 1,000 pengguna Facebook yang memuji usaha Shamsul Azri dalam meningkatkan perkhidmatan awam yang ditawarkan kepada rakyat serta mengharapkan langkah itu berterusan.

Shamsul Azri turut melakukan lawatan mengejut ke Ibu Pejabat Polis Daerah Pekan untuk meninjau perkhidmatan serta kebajikan anggota perkhidmatan awam di situ, dan telah dimaklumkan oleh Ketua Polis Daerah Pekan Supt Mohd Zaidi Mat Zin mengenai beberapa perkara yang perlu diambil perhatian.

“Beliau menerangkan isu-isu berkaitan keselamatan penduduk serta kebajikan anggota khususnya kuarters dan ruang pejabat yang memerlukan perhatian segera. Saya akan utarakan perkara ini kepada pihak berkaitan agar penyampaian perkhidmatan keselamatan terus diperkasa dan diyakini oleh rakyat,” katanya.

Sementara itu, menerusi hantaran di Facebooknya pagi ini, beliau memaklumkan turut meninjau kerja-kerja pembaikan atap rumah warga emas yang dilaksanakan di bawah Program Santuni MADANI yang diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan turut menyampaikan sumbangan berbentuk keperluan asas harian.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Pas hentikan kerjasama politik dengan Bersatu – Hadi Awang

MESYUARAT Khas Jawatankuasa Kerja Pas Pusat menetapkan parti itu menghentikan kerjasama politik dengan Bersatu. Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi...

More Articles Like This