PENGORBANAN anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) disifatkan sebagai tiang seri yang mendukung keamanan dan kemakmuran negara.
Sehubungan itu, sempena bulan Ramadan yang mulia ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta semua pihak merenung dan menghargai pengorbanan anggota PDRM yang bertugas siang dan malam.
Selain itu, katanya, pengorbanan anggota PDRM itu bagi memastikan orang ramai dapat beribadah dan menjalani kehidupan dengan tenang.
“Sebagai rakyat Malaysia, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk menghargai usaha PDRM dalam mengekalkan keamanan,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Sambil mengucapkan selamat menyambut Hari Polis ke-218, Anwar berharap PDRM terus cemerlang dalam melaksanakan amanah dipikul, dan negara terus menikmati keamanan serta kemakmuran yang berkekalan.
“Pada hari penuh bermakna ini, kita bersama-sama menyambut Hari Polis ke-218 mengenang dan menghargai jasa serta pengorbanan anggota PDRM yang terus berbakti dan menumpahkan taat setia memastikan keamanan dan kesejahteraan negara tercinta,” katanya.
Baca artikel lain: Hargai pengorbanan anggota PDRM, kerajaan tawar Insentif Rebat RAHMAH – Fahmi
Mengimbau semula sejarah PDRM, Anwar berkata, PDRM telah memainkan peranan penting dalam menegakkan undang-undang dan ketenteraman awam sejak penubuhannya bermula dari Home Guard pada 25 Mac 1807.
Menurut Perdana Menteri, sejarah PDRM bermula sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka, di mana jawatan seperti Temenggung bertindak sebagai pelaksana dan penguatkuasa undang-undang adat dan syariah.
Jelasnya, peranan itu berkembang dengan penubuhan pasukan polis moden bermula di Pulau Pinang dan seterusnya di negeri-negeri lain membawa kepada pembentukan Pasukan Polis Negeri-Negeri Selat pada tahun 1871.
“Dalam menghadapi ancaman komunis pada era darurat (1948-1960) dan ancaman keganasan berikutnya, PDRM melalui Pasukan Cawangan Khas telah menunjukkan ketangkasan dan kecekapan dalam mengumpul risikan serta melaksanakan operasi yang berjaya mengekang ancaman tersebut.
“Usaha gigih ini memastikan kestabilan negara terpelihara dan rakyat dapat hidup dalam suasana aman.
“Di peringkat serantau, PDRM terus memperkukuh kerjasama dengan negara-negara ASEAN melalui wahana seperti ASEANAPOL dan INTERPOL. Kerjasama ini penting dalam mengekalkan kestabilan rantau terutama dalam menghadapi ancaman jenayah rentas sempadan dan keselamatan siber,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

