MENJELANG minggu pertama program realiti Big Stage Alpha yang bakal membuka tirai pada malam esok, penyanyi berbakat Syafeek Ikhwan mengakui sudah mula berasa tekanan dan bahang persaingan walaupun pentas rasmi masih belum bermula.
Berkongsi keterujaannya, Syafeek akan tampil dengan semangat tinggi dan berjanji untuk memberikan persembahan terbaik buat peminat dan penonton.
“Bahang tu memang dah mula terasa, walaupun belum buat persembahan lagi.
“Tapi saya anggap ini semua sebagai motivasi untuk paksa diri dan beri 100 peratus komitmen pada minggu pertama nanti,” katanya.
Tambah Syafeek, dia mengambil masa untuk membuat persediaan rapi dari segi vokal, persembahan pentas dan mental, kerana sedar pentas Big Stage Alpha menuntut lebih daripada sekadar suara yang bagus.
“Saya tahu saingan memang sengit. Jadi saya kena betul-betul bersedia dari semua sudut.
“Apa pun yang berlaku, saya akan pastikan persembahan saya nanti akan tinggalkan impak,” ujarnya.
Berbicara lebih lanjut, Syafeek turut berkongsi perasaan apabila dilantik sebagai Ketua Kampus menerusi episod ketiga Diari Big Stage.
Sikapnya yang matang, tenang dan berkarisma membuatkan dia diberi kepercayaan oleh rakan peserta lain bagi menggalas tanggungjawab tersebut.
“Saya tak sangka akan dipilih, tapi saya hargai kepercayaan yang diberi.
“Sebagai ketua, saya nak jadi contoh yang baik dan bantu wujudkan suasana positif sepanjang kami di sini,” katanya dengan rendah hati.
Bagi Syafeek, peluang menyertai program ini bukan sekadar ruang untuk berentap, tetapi juga medan untuk belajar, berkembang dan membina hubungan dengan rakan seperjuangan.
“Saya akan all out. Harap semua terus doakan dan sokong saya sepanjang pertandingan!,” ujarnya penuh pengharapan.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

