Prosiding tuntutan Sulu di Mahkamah Rayuan Paris 7 Julai ini – Azalina

Dari Penulis

PROSIDING seterusnya berhubung kes tuntutan kumpulan Sulu dijadualkan berlangsung di Mahkamah Rayuan Paris pada 7 Julai ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

Beliau berkata, perbicaraan itu akan menyaksikan badan kehakiman Perancis meneliti kesahihan anugerah timbang tara yang dikenakan terhadap Malaysia serta pelbagai aspek perundangan berkaitan.

“Malaysia akan terus melaksanakan semua usaha, hak dan sumber yang ada untuk melindungi kedaulatan kekebalan dan kepentingan Malaysia serta memuktamadkan kes penipuan kumpulan Sulu yang tidak berasas.

“Beberapa keputusan yang memihak Malaysia mutakhir ini, semuanya secara signifikan telah mengukuhkan kedudukan dan kedaulatan undang-undang Malaysia sebagai negara merdeka lagi berdaulat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata antara keputusan tersebut ialah Mahkamah Perancis yang membatalkan pengiktirafan anugerah awal, menolak anugerah akhir oleh Mahkamah Agung Belanda dan sabitan jenayah Mahkamah Rayuan terhadap penimbang tara Gonzalo Stampa kerana menghina mahkamah.

Menurut Azalina, kes tuntutan kumpulan Sulu telah mencabar had imuniti Malaysia sebagai negara berdaulat dengan menyaksikan bagaimana pembiayaan pihak ketiga disalahgunakan bagi memperpanjang tuntutan tidak berasas terhadap Malaysia dengan cara amat licik selain memperlihatkan tribunal timbang tara swasta cuba merampas aset milik kerajaan.

Baca artikel lain: Tuntutan Kumpulan Sulu yang mahu ambil tindakan terhadap Sabah tidak masuk akal – Azalina

Azalina sedang dalam lawatan kerja ke Eropah turut mengadakan pertemuan dengan pasukan perundangan mewakili Malaysia di Paris untuk pemetaan strategi berterusan dan kemas kini kes tuntutan Sulu yang sedang berlangsung.

Sebelum ini, lapan warga Filipina mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu yang sudah tidak wujud memfailkan prosiding timbang tara di Sepanyol bagi menuntut berbilion dolar AS daripada Malaysia berhubung isu membabitkan Sabah dan sebuah mahkamah di Madrid pada Mac 2019 telah melantik Stampa sebagai penimbang tara bagi kes itu.

Pada 28 Feb 2022, Stampa telah membuat keputusan yang memihak kepada kumpulan itu dan mengeluarkan Award Akhir sebanyak US$14.9 bilion hasil daripada timbang tara tidak sah meskipun pelantikan beliau sebagai penimbang tara telah dibatalkan oleh Mahkamah Sepanyol.

Malaysia sebelum ini telah memperoleh beberapa siri kemenangan dalam kes tuntutan kumpulan Sulu antaranya pada November tahun lepas, dengan Mahkamah Agung Perancis telah menolak sepenuhnya cabaran perundangan difailkan oleh kumpulan itu.

Kemenangan bersejarah buat Malaysia itu bermakna asas awal yang membawa kepada Award Akhir iaitu Malaysia perlu membayar pampasan sebanyak US$14.9 bilion tidak diiktiraf di bawah undang-undang Perancis.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Dua anggota MALBATT cedera akibat serangan udara di Lubnan

DUA anggota Batalion Malaysia (MALBATT) 850-13 cedera ringan selepas konvoi logistik yang mereka sertai terkena kesan sampingan daripada satu...

More Articles Like This