BEKAS penyampai radio, Kieran mendedahkan kondisi kesihatannya semakin baik setelah selesai menjalani rawatan kemoterapi akibat kanser prostat.
Walau bagaimanapun, Kieran atau Maskiran Jakiran,50, berkata, beberapa bahagian anggota badannya lemah susulan kesan daripada prosedur terbabit.
“Syukur Alhamdulillah, kesihatan saya bertambah baik selepas pembedahan pada Februari lalu dan sesi kemoterapi. Sel kanser dah semakin banyak berkurangan tapi dalam perut tak tahu apa yang berlaku.
“Saya berdebar sebab dua minggu lagi akan dapat keputusan daripada doktor di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
“Sakit-sakit itu masih ada terasa tapi saya pura-pura kuat dan macho. Ada orang tegur kata nampak saya okay saja tapi bila waktu malam rasa berdenyut. Tangan saya bengkak selepas kemoterapi dan masih belum surut lagi.
“Saya juga tak boleh pegang barang terlalu lama, memandu kereta pun tak boleh jarak jauh. Sekitar Kuala Lumpur saya paksakan diri juga,” katanya kepada URTV ketika ditemui pada majlis Terbaek Raya mStar di Kuala Lumpur, semalam.
Dalam pada itu, Kieran akui ada mendapat tawaran rawatan alternatif sebagai usaha mengurangkan penyakit yang dihidapi.
Namun, Kieran yang juga pengacara itu enggan semberono menerima disebabkan nasihat doktor yang melarang dirinya mencuba kaedah perubatan lain.
“Setakat ini saya tidak ambil ubat luar selain yang dibekalkan oleh doktor hospital. Doktor pun dah berpesan untuk tidak membenarkan saya bercampur ubat-ubatan atau rawatan.
“Saya faham niat mereka nak membantu sebagai ikthiar tapi mungkin ubat tersebut serasi untuk mereka tapi tidak bagi saya.
“Kebiasaannya, saya akan menolak pelawaan itu dan ucapkan terima kasih serta mohon minta maaf sebab saya tak mahu mengguris perasaan orang lain,” luahnya.
Terdahulu, Kieran antara enam penerima mStar Baek pada musim ketiga dalam acara pemberian sumbangan, semalam.
Kieran bersyukur terpilih sebagaoi salah seorang penerima bantuan selepas hilang punca pendapatan.
“Bantuan yang diterima ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban selepas setahun saya sudah tidak bekerja.
“Saya layak menerima kad perubatan yang boleh digunakan sebanyak 12 kali rawatan, ia inisiatif yang sangat baik buat golongan seperti kami yang ditimpa musibah,” katanya.
Turut menerima sumbangan, Fendy Caliph Busker yang membesarkan anaknya yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan sepertinya dan bekas pemain bola sepak kebangsaan, Azman Adnan yang kini menderita akibat tulang kaki membengkok.
Selain itu, atlet Nurul Shakina Abdullah Teh yang kini menjadi penyanyi jalanan untuk membesarkan dua anak serta Mohammad Saad Habizal yang menghidap palsi serebrum (cerebral palsy) dan masalah tulang belakang bengkok.
Turut menerima sumbangan, pelakon Ebby Yus yang diuji pelbagai penyakit kronik termasuk masalah jantung dan kegagalan buah pinggang.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

