SEORANG lelaki kerugian kira-kira RM230,000 selepas rumahnya dimasuki pencuri sebelum bertindak membawa lari kereta mewah Lexus miliknya.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, kejadian berlaku Jumaat lalu di sebuah taman perumahan di Bakri.
Katanya, kejadian berlaku ketika pengadu berada di tempat kerja sebelum dihubungi jiran memaklumkan terdengar bunyi mencurigakan.
“Pengadu bergegas balik ke rumah dan mendapati rumahnya telah dipecah masuk dan kereta Lexus miliknya turut hilang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, suspek yang tidak dikenali itu turut melarikan sejumlah wang tunai.
“Usaha memburu suspek terlibat sedang giat dijalankan,” ujarnya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 457 dan 379A Kanun Keseksaan.

