MESYUARAT Khas Dewan Rakyat hari ini merakamkan ucapan takziah dan penghormatan kepada Perdana Menteri kelima Tun Abdullah Ahmad Badawi yang meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada 14 April lepas.
Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul memohon Ahli-Ahli Dewan Negara dan Dewan Rakyat yang beragama Islam menghadiahkan al-Fatihah serta yang bukan beragama Islam bertafakur selama seminit.
Terdahulu, Johari menyifatkan Allahyarham Abdullah sebagai seorang tokoh negarawan, pemimpin yang ulung, berjiwa rakyat dan besar jasa serta sumbangannya kepada negara.
“Sesungguhnya, pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan yang besar, amat dirasai segenap lapisan masyarakat di negara ini,” katanya dalam pemasyhuran sebelum sesi penerangan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai tarif Amerika Syarikat hari ini.
Baca artikel lain: Presiden Kosovo lawat Makam Pahlawan, ziarah kubur Tun Abdullah
Sementara itu, Perdana Menteri ketika berucap sebelum memulakan sesi penerangan, menyifatkan Abdullah sebagai satu sosok penting yang telah merangka beberapa pembaharuan awal dan reformasi termasuk melibatkan Parlimen Malaysia.
Anwar berkata jasa dan khidmat bekas Perdana Menteri itu yang amat cemerlang kepada negara akan terus dikenang sepanjang zaman.
“Saya ingin zahirkan ucapan takziah kepada keluarga (Tun Abdullah), anak Pulau Pinang dan Kepala Batas, negara sudah beri penghormatan tertinggi kepada Allahyarham (Istiadat Pengebumian Negara) dengan jenazahnya disemadikan di Makam Pahlawan (di Masjid Negara),” katanya.
Tun Abdullah, yang mesra disapa “Pak Lah”, meninggal dunia pada usia 85 tahun.
— BERNAMA
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

