Sidang Kemuncak ASEAN: Syarikat swasta digalak kerja dari rumah, sekolah sekitar lokasi laksana PdPR

Afiq Mohd. Shah
Afiq Mohd. Shah
Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

Dari Penulis

SYARIKAT swasta yang berpangkalan di sekitar lokasi penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 di Kuala Lumpur pada 26 dan 27 Mei ini digalakkan membenarkan pekerja mereka untuk bekerja dari rumah.

Perkara itu telah dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri, hari ini bagi mengelakkan kesesakan teruk dihadapi warga kota.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) juga sedang mengenal pasti sejumlah sekolah yang berada dalam kawasan laluan-laluan utama bagi Sidang Kemuncak ASEAN itu.

Kata beliau yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan, warga sekolah yang tersenarai itu akan dibenarkan untuk melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Bagi penjawat awam, Fahmi memberitahu, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah mengeluarkan kenyataan bagi memaklumkan bahawa penjawat awam yang terkesan dibenarkan untuk bekerja dari rumah.

“Mesyuarat Jemaah Menteri juga telah mendapat sedikit taklimat dan maklumat daripada Menteri Luar mengenai kenyataan beliau baru-baru ini tentang isu trafik yang mungkin berlaku sewaktu Sidang Kemuncak ASEAN ini berlangsung.

“KPM akan mengenalpasti sejumlah sekolah yang berada di dalam kawasan laluan-laluan utama dan senarai sekolah akan diumumkan nanti supaya pelajar dibenar melakukan PdPR.

“Kita juga telah membincangkan mengenai pekerja syarikat swasta yang mana Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan bahawa syarikat swasta yang berpangkalan atau beribu pejabat di kawasan-kawasan berlangsungnya sidang kemuncak digalakkan supaya bekerja dari rumah semasa tempoh sidang kemuncak tersebut,” katanya dalam sidang media pasca mesyuarat Kabinet, hari ini.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, selain Sidang Kemuncak ASEAN, dua lagi sidang kemuncak akan turut dilaksanakan pada tarikh yang sama.

Baca artikel lain: Sidang Kemuncak ASEAN: Penjawat awam terkesan trafik disaran mohon bekerja dari rumah

Menurutnya, dua lagi sidang kemuncak itu adalah Sidang Kemuncak ASEAN- Majlis Kerjasama Negara-Negara Teluk (GCC) dan Sidang Kemuncak Ekonomi ASEAN-GCC-China.

Sehubungan itu, katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga akan mengumumkan laluan-laluan utama yang akan digunakan sama ada oleh ketua-ketua kerajaan atau ketua-ketua negara yang akan tiba bagi menghadiri sidang kemuncak berkenaan.

Antara kawasan yang terlibat, jelas Fahmi, termasuk sekitar Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Subang di samping beberapa laluan di kawasan KLCC.

“Sejumlah hotel-hotel penginapan juga akan menjadi tempat penginapan bagi delegasi ASEAN, GCC dan China.

“Senarai ini akan diterbitkan PDRM dalam masa terdekat. Orang awam boleh merujuk senarai tersebut untuk membuat perancangan pada hari sidang berlangsung.

“Ini merupakan satu program yang sangat bersejarah dan peluang yang baik bukan hanya Malaysia tapi juga ASEAN memanfaatkan sidang tersebut untuk memungkinkan perbincangan mengenai beberapa perkara termasuk isu-isu ekonomi di rantau ini dan kerjasama dengan GCC serta China,” katanya.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang akan berlangsung pada 26 dan 27 Mei ini di Kuala Lumpur Convention Center (KLCC) menghimpunkan 10 pemimpin negara anggota blok itu bagi membincangkan isu serantau serta memupuk kerjasama ekonomi selain memperjuangkan prinsip keterangkuman dan kemampanan.

Malaysia mengambil alih Kepengerusian ASEAN pada 1 Jan 2025 daripada Laos dengan tema Keterangkuman dan Kemampanan, mencerminkan aspirasi negara untuk membina ASEAN yang bersatu serta makmur.

Ini kali kelima Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN selepas memegang jawatan itu pada tahun 1977, 1997, 2005 dan 2015.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

SPRM tahan 73 individu kes tuntutan Daya Kerjaya 2.0 bernilai RM9 juta

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan reman 73 individu yang terdiri daripada ejen dan pemilik syarikat kerana disyaki...

More Articles Like This