SELEPAS mendapati perjuangan sia-sia mereka bukan sahaja tidak dilayan oleh pemerintah Thailand tetapi juga ditolak oleh majoriti penduduk Islam di Selatan Thailand, puak pemisah Barisan Revolusi Nasional (BRN) mula melakukan langkah drastik dengan membunuh penduduk Buddha.
Sejak awal bulan ini sehingga 4 Mei lalu, satu demi satu kejadian keganasan dan pembunuhan dilakukan oleh puak pemisah. Paling trajis apabila seorang warga emas wanita, Sangar Saengyoi berusia 76 tahun yang cacat penglihatan (buta) mati ditembak oleh puak pemisah di daerah Chanet, Narathiwat pada 2 Mei lalu.
Paling memilukan mayat Sangar Saengyoi ditemukan dalam keadaan memeluk tongkatnya yang selama ini menjadi ‘mata’ untuk wanita tua itu ke mana-mana. Turut cedera parah dalam kejadian pada pukul 3.25 petang itu ialah anak lelakinya, Tasanai Tangkhong,42 tahun.
Sikap ganas dan buas BRN tidak berakhir di situ apabila kira-kira tiga jam kemudian, puak pemisah melakukan serangan ke atas sebuah keluarga yang sedang menonton televisyen di rumah mereka kira-kira pukul 7.30 malam di daerah Tak Bai, Narathiwat.
Cukup trajis apabila dalam kejadian itu dua orang dibunuh termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia 9 tahun yang merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) manakala tiga lagi cedera.
Pada 4 Mei pula, di daerah Yaring, Pattani, seorang penduduk mati dibunuh di rumahnya dan sebelum itu pada hari yang sama serangan bom dilakukan oleh puak pemisah menyebabkan seorang anggota polis yang sedang memasang CCTV di sebuah kampung di Chanet, Narathiwat terbunuh manakala dua orang lagi cedera.
Selain itu pada hari yang sama juga, puak pemisah telah membaling tiga biji bom paip ke arah sebuah rumah di Kho Po, Pattani namun tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan.
Kesemua kejadian itu melibatkan warga Thailand beragama Buddha yang sekaligus memberikan isyarat bahawa BRN mula menggunakan strategi cukup berbahaya bagi mencapai impian songsang mereka setelah sebelum ini tindakan mereka membunuh penduduk Islam terutamanya mereka yang bekerja dengan pemerintah Thailand tidak mendatangkan apa-apa hasil.
Mereka bertindak demikian untuk menakut-nakutkan penduduk Islam supaya menyokong perjuangan mereka tetapi usaha itu gagal kerana penduduk Islam semakin selesa untuk bersama pemerintah Thailand bagi membangunkan Selatan Thailand demi masa depan mereka.
Keikhlasan pemerintah Thailand diketuai oleh Perdana Menteri Paetongtarn Shinawatra untuk memperjuangkan nasib penduduk Islam telah menyebabkan masyarakat berkenaan lebih selesa untuk bersama kerajaan negara itu daripada menyokong perjuangan sia-sia BRN.

Keadaan inilah yang memungkinkan BRN melakukan tindakan drastik dengan membunuh penduduk beragama Buddha pula. Melalui cara sedemikian mereka berharap masyarakat Thailand beragama Buddha akan bermusuh dengan penduduk Islam memandangkan BRN adalah kelompok pengganas Islam. Akhirnya Selatan Thailand akan terus bergolak hanya disebabkan perasaan dendam antara satu sama lain.
Jangan lupa sebelum ini sudah berlaku pelbagai kejadian pembunuhan ke atas penduduk Islam yang boleh menyemarakkan perasaan dendam seperti kejadian seorang anggota RELA mati ditembak di Pasar Ramadan pada 28 Mac tahun lalu dan serangan bom di Bangnansetar yang menyebabkan seorang guru wanita terbunuh dan 34 orang cedera.
Tetapi setakat ini kita belum lagi mendengar ahli keluarga mangsa terlibat mahu membalas dendam kerana mereka tahu semua itu tidak menguntungkan mana-mana pihak apatah lagi kalau ia angkara BRN.
Namun konflik, keganasan dan pembunuhan yang berlaku di wilayah itu dikatakan berpunca dendam kesumat peribadi seorang pemimpin kanan BRN yang anaknya ditembak mati dalam pertempuran dengan pasukan keselamatan kira-kira 20 tahun lalu di Pattani.
Sejak kejadian yang berlaku pada Jun 2005 itu, pemimpin berkenaan dikatakan amat berdendam kepada pemerintah Thailand khususnya Thaksin Shinawatra yang ketika itu adalah Perdana Menteri. Pemimpin tersebut menganggap Thaksin bertanggungjawab ke atas kematian anaknya.
Kejadian itulah sebenarnya menjadi faktor utama BRN menggunakan keganasan menghuru-harakan Selatan Thailand. Mereka tidak ada niat untuk membangunkan atau memajukan wilayah itu demi masa depan penduduk Islam tetapi memperalatkan penduduk Islam bagi melunaskan dendam sang pemimpin.
Tindakan sedemikian tidak akan memberi apa-apa manfaat kepada penduduk Islam malah melalui tindakan ganas BRN ke atas penduduk beragama Buddha ia boleh mencetuskan konflik antara kaum yang akan menghancurkan Selatan Thailand. Malang sekali jika penduduk berbunuh sesama sendiri sedangkan pemimpin BRN yang menjadi dalang utama hanya menjadi penonton serta berasa cukup puashati dengan kejahatan yang dia lakukan.
Bagaimanapun setakat ini, penduduk di Selatan Thailand sama ada beragama Islam mahupun Buddha masih rasional, mereka tidak terperangkap dengan mainan ganas BRN. Mereka mahukan kedamaian dan mahu menjalani kehidupan bersama-sama dengan penuh ketenangan.
Justeru itulah sama ada pemerintah Thailand mahupun Kerajaan Malaysia yang menjadi fasilitator harus berhati-hati dengan taktik terbaru BRN ini keranaia amat berbahaya. Kedua-dua pihak tidak harus melayan sebarang tuntutan puak pemisah tersebut dan perlu memberikan syarat yang ketat jika mahu menjalankan proses rundingan damai.
Tindakan tegas harus dikenakan ke atas pemimpin-pemimpin BRN tidak kira di manapun mereka berada atau bersembunyi. Ketegasan yang ditunjukkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menegaskan negara ini tidak berkompromi atau melindungi mereka yang melakukan keganasan adalah tepat dan berani.
Pendirian Anwar itu yang dizahirkan ketika mengadakan pertemuan dengan Paetongtarn di Bangkok baru-baru ini perlu menjadi isyarat kepada pemimpin-pemimpin BRN bahawa Malaysia bukanlah zon selamat untuk mereka berlindung. Selain itu ia juga membuktikan Malaysia membenci keganasan dan tidak akan bersekongkol dengan kelompok pengganas.
Kesimpulannya, BRN kini sedang berusaha mencetuskan dan menyemarakkan perasaan dendam antara penduduk berbeza agama di Selatan Thailand. Jika keadaan itu berterusan maka sia-sia sahaja sebarang proses rundingan damai yang mahu dijalankan.
Lebih buruk lagi apabila hakikatnya ada pemimpin BRN mahu menjadikan wilayah Selatan Thailand sebagai medan melunaskan dendam kesumatnya sehingga nyawa penduduk menjadi taruhan!

