PENYANYI Fauziah Latiff belum terfikir untuk kembali aktif merancakkan industri muzik tanah air.
Namun, Fauziah atau Siti Fauziah Sheikh Abdul Latiff, 54, sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana artis sebagai projek khas.
Justeru, tahun ini dia berkolaborasi bersama Jessie Chung atau JessC menerusi single duet Tak Terpisah.
“Saya tidaklah dikatakan kembali aktif tapi lagu Tak Terpisah adalah sebuah projek istimewa bersama JessC, jadinya saya berterima kasih kepadanya dan pasukan atas peluang merakamkan lagu duet ini.
“Kali terakhir saya keluarkan single solo ialah tahun lalu, itu pun lagu runut bunyi bagi drama terbitan Zeel Productions yang tidak dikomersialkan,” katanya kepada URTV.
Fauziah berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran album bahasa Melayu berjudul Dekati oleh JessC di Symphony Theatre, di Shah Alam, hari ini.

Album itu memuatkan enam lagu baharu, termasuk lagu duet istimewa bersama Fauziah berjudul Tak Terpisah.
Jelas pelantun yang popular dengan lagu Dia itu, dia akui ramai yang bertanya soalan sama bilakah dirinya akan mengeluarkan karya baharu.
Bagaimanapun, sebagai anak seni yang sudah tiga dekad dalam industri, Fauziah enggan terburu-buru menerbitkan sebuah karya.
Malah, sebagai penyanyi bersuara emas, Fauziah pernah didatangi komposer muda yang berhasrat ingin menghasilkan lagu buat dirinya.
“Ada beberapa lagu yang diterima dan ada satu lagu yang sangat saya suka, tapi mungkin tiada jodoh dengan lagu itu.
“Tahap saya ketika ini sangat memerlukan perhatian dalam memilih sesebuah lagu sebab ini adalah tanggungjawab.
“Kita perlu sampaikan kepada pendengar, jadi pada saya, ini perkara yang saya titikberatkan. Saya mahu lagu itu betul-betul orang suka dan menanyi dari hati.
“Setiap lagu yang saya rekod ada keistimewaan tersendiri, jadi dari segi pemilihan perlu terperinci. Tapi saya terbuka dengan genre dan komposer baru,” jelasnya.
Fauziah juga tidak menafikan seorang yang agak cerewet memilih setiap karya agar sedap didengar di telinga peminat.
Bercakap tentang Tak Terpisah, Fauziah menggambarkan karya tersebut sebagai sebuah luahan hati yang merindui seorang sahabat.

“Saya sudah bersahabat baik dengan JessC sejak 10 tahun lalu. Kali pertama mendengar Tak Terpisah sejujurnya saya mengalirkan air mata sebab bagi saya lagu ini ada ‘soul’, jadi saya cuba terbaik untuk menyampaikan lagu itu.
“Saya mahu menyokong karier seni JessC sebab itulah saya ambil cabaran ini dan bekerjasama dengan semua pasukan.
“Lagu ini ada jiwa. Sebaik mengalunkan lagu Tak Terpisah, kita akan terkenangkan memori atau kenangan lalu bersama insan istimewa,” kongsinya .
Dalam perkembangan lain, ibu kepada dua cahaya mata itu juga baru selesai menjayakan penggambaran telefilem Srikandi dengan membawakan watak Bonda Sultanah yang kehilangan putera tunggalnya, Sultan Zainal Abidin.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

