“Jalan cerita filem ini hampir sama dengan apa yang berlaku dengan saya yang mana pada 2000 satu-satunya anak lelaki saya meninggal dunia”.
Demikian luahan daripada pakar motivasi terkenal, Datuk Prof Dr Muhaya Mohamad mengenai fiIndonesia, Keajaiban Air Mata Wanita yang bakal ditayangkan di negara ini sempena sambutan Hari Raya Aidiladha.
Kongsi Muhaya, karya arahan Indra Gunawan itu cukup menyentuh hatinya sekaligus membuatkan dirinya tidak menunggu lama saat dipelawa oleh penerbit filem, Nasrullah untuk membuat penampilan khas dalam naskhah terbabit.

Saat menonton tayangan awal filem berkenaan baru-baru ini, Dr Muhaya dilihat beberapa kali mengalirkan air mata.
“Bila menonton salah satu adegan ketika seorang ibu sedang sibuk masukkan barang yang di beli ke dalam kereta, tanpa disedari anak yang berada dalam kereta sorong dilanggar sebuah kereta.
“Momen itu mengingatkan kembali kejadian hampir sama yang berlaku kepada anak saya pada 2000.
“Saya membawa anak membeli barang dan ketika saya sedang masukkan barang ke dalam kereta, tiba-tiba dia jatuh.
“Saya cuba menyelamatkan dia dengan melakukan bantuan pernafasan (CPR), tapi arwah meninggal dunia walaupun saya seorang doktor. Sebab itulah bila menonton babak berkenaan, saya tak dapat tahan air mata dan menangis,” katanya kepada URTV.
Pada masa sama, Dr Muhaya akui turut tertarik dengan mesej positif yang disampaikan sekaligus sesuai dengan misinya yang mahu semua umat mendekati Allah.
“Apa sahaja yang boleh membawa manusia kepada jalan Allah, saya akan sokong. Tidak ada keraguan daripada saya.
“Pada saya, ini satu peluang kerana misi hidup saya adalah untuk mencari ‘pencen kubur’ seperti memperoleh ilmu yang bermanfaat, menjadi anak soleh serta bersedekah.
“Bayangkan jika filem ini ditayangkan di seluruh dunia, saya dapat pencen akhirat. Walaupun mungkin pembabitan saya hanya tiga minit, tetapi itulah saham saya nanti,” luahnya.
Turut hadir pada malam tayangan awal filem berkenaan ialah Nasrullah atau mesra dengan panggilan Pak Nasrullah yang juga penulis buku Magnet Rezeki yang telah menginspirasikan lebih jutaan pembaca di Indonesia.
Bersahabat baik dengan Dr Muhaya, Pak Nasrullah akui banyak terinspirasi dengan motivasi positif tokoh wanita itu.
“Tahun lalu saya menyuarakan kepadanya hasrat nak buat filem tentang karya emosional yang sarat dengan nilai spiritual dan pengampunan.
“Saya berceramah, mengubati orang di merata tempat tetapi hanya beberapa orang sahaja yang mendapat mesej daripada saya.
“Sementara saya melihat filem seram di Indonesia menarik lebih 9 hingga 12 juta tontonan walaupun ia karya bersifat hiburan tetapi menakut-takutkan berbanding cerita spiritual.
“Justeru, terhasil lah Keajaiban Air Mata Wanita yang bukan sekadar hiburan tetapi gerakan untuk menyembuhkan luka batin masyarakat dan membangkitkan harapan baharu melalui kekuatan kisah nyata,” kongsinya.
Kata Pak Nasrullah, sebagai produser, dia tidak berharap keuntungan semata-mata tetapi ini adalah sebuah bentuk dakwah.
“Allah sudah memberi kesempatan kepada saya untuk berada di dunia ini. Sementara orang lain mungkin belum tahu jalannya.
“Saya seorang produser, saya tahu sutradara, saya tahu bagaimana untuk mendapatkan modal bagi filem ini.
“Ya, saya tahu bagaimana mencari barisan pelakon kemudian saya tak buat filem, maka saya berdosa.
“Jadi akhirnya bukan lagi perkara keuntungan semata. Kalau di Indonesia pun filem ini sudah pulang modal kemudian bakal ditayangkan di Malaysia.
“Andai di Malaysia filem ini sukses serta disokong oleh Bunda (Dr Muhaya), saya lebih lagi dapat keuntungan dan akan menggunakan modal itu untuk menghasilkan filem-filem kebaikan berikutnya,” katanya.
Keajaiban Air Mata Wanita lakonan Citra Kirana, Rezky Aditya dan Natasha Rizko sudah ditayangkan di Indonesia pada 23 Januari lalu.
Filem berkenaan meraih kutipan yang membanggakan di negara itu.
Keajaiban Air Mata Wanita mengisahkan tentang Kiki, seorang wanita yang kehidupannya berubah drastik selepas kematian suaminya, Ronald.
Beliau menghadapi pelbagai cabaran termasuk kehilangan pekerjaan, masalah kewangan, dan risiko kehilangan hak penjagaan anak perempuannya, Bunga.
Dengan sokongan sahabat baiknya, Rahma, Kiki berusaha untuk bangkit semula dan mencari kebahagiaan dalam hidupnya.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

