Kelepok Raya: Aliff syukri tegaskan sama sekali tak sokong, promosi golongan LGBT

Auzaee Athallah
Auzaee Athallah
Penulis merupakan Pengarang Multimedia/wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lima tahun dalam dunia kewartawanan. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2023, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat penyiaran/portal lain sejak tahun 2021. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama mahkamah, jenayah dan politik.

Dari Penulis

USAHAWAN terkenal, Datuk Seri Aliff Syukri menegaskan bahawa dia sama sekali tidak menyokong atau mahu mempromosikan golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di dalam mana-mana media sosial miliknya menerusi video muzik raya yang berjudul Kelepok Raya, tiga tahun lalu.

Beliau atau nama sebenarnya, Aliff Syukri Kamarzaman, 38, berkata demikian ketika pemeriksaan utama oleh peguam yang mewakilinya, Awang Armadajaya Awang Mahmud pada prosiding bela diri hari pertama di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Sepang, Ahmad Fuad Othman.

Katanya, tidak mungkin dia ingin menjatuhkan maruahnya sendiri untuk mempromosikan LGBT di mana-mana platform media sosial miliknya.

“Saya ingin memohon maaf kerana apa yang ingin saya tegaskan, bahawa saya sama sekali tidak ingin melakukan atau mempromosikan LGBT di dalam mana-mana platform media sosial, apabila saya sendiri sudah berkahwin dan mempunyai enam cahaya mata.

“Saya juga Ikon Belia (Anugerah Khas Ikon Belia Wilayah Persekutuan) yang baru dilantik semalam. Selain itu saya juga hampir 10 tahun berturut-turut menjadi pembayar zakat tertinggi di Selangor. Jadi saya rasa tak mungkin saya ingin menjatuhkan maruah saya sendiri untuk mempromosikan LGBT. Hal ini terjadi kerana ia disalahtafsirkan,” katanya.

Sementara itu, dalam pernyataan saksinya, Aliff menegaskan bahawa dia tidak akan membuat perkara yang akan menjadi contoh yang tidak baik kepada isteri dan enam anaknya seperti mempromosikan LGBT yang ditomahkan terhadapnya.

Pada prosiding itu, beliau turut memberitahu mahkamah bahawa inspirasi untuk penghasilan video ‘Kelepok Raya’ itu diambil daripada dua buah video muzik dua penyanyi tempatan iaitu Hael Husaini dan Elizabeth Tan.

Katanya, dia telah menunjukkan dua video muzik berkenaan kepada penari-penari yang terlibat di dalam video muzik ‘Kelepok Raya’ di mana dia katakan kepada mereka bahawa dia mahu muzik video lagu rayanya dihasilkan seperti itu.

“Penari-penari di dalam musik video tersebut adalah penari-penari professional yang saya upah untuk menari dan berlakon bersama saya dalam muzik video tersebut.

“Saya memberikan kebebasan untuk mereka mengenakan pakaian yang mereka sendiri rasa sesuai dan tiada sebarang paksaan. Berkaitan solekan pula, saya juga memberikan mereka kebebasan untuk mengenakannya kerana ia perkara biasa untuk pelakon tidak kelihatan kusam dan berminyak di dalam kamera.

“Dari segi gaya tarian, saya memberitahu mereka untuk buat secara ‘free style’ atau gaya bebas mengikut cita rasa masing-masing dan saya tidak menggunakan khidmat mana-mana ‘choreographer’, semua penari diberi kebebasan untuk menari secara gaya bebas,” katanya.

Dalam pada itu, Aliff turut memaklumkan mahkamah bahawa dia tidak pernah memuat naik empat klip video muzik ‘Kelepok Raya’ ke akaun Instagram @aliffsyukriterlajaklaris, sebaliknya beliau percaya bahawa salah seorang daripada dua pembantunya yang melakukan perkara tersebut memandangkan mereka yang memegang telefon bimbitnya serta akses ke akaun Instagramnya itu.

“Pada bila-bila masa, saya tidak pernah memberi apa-apa arahan kepada mana-mana pekerja saya untuk memuat naik mana-mana bahagian daripada muzik video ‘Kelepok Raya’ tersebut ke dalam mana-mana media sosial saya.

“Ini kerana, video muzik tersebut belum melalui proses suntingan dan kelulusan dari saya sebelum ia dimuat naik ke dalam akaun-akaun media sosial saya,” katanya lagi.

Selepas prosiding pemeriksaan utama oleh Awang Armadajaya selesai, mahkamah menetapkan 22 Mei depan bagi pemeriksaan balas oleh Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Pada 14 Mac lepas, Mahkamah Sesyen Sepang memerintahkan Aliff Syukri membela diri atas empat pertuduhan memuat naik kandungan video sumbang berkenaan.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Ahmad Fuad selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Aliff Syukri pada akhir kes pendakwaan.

Pada 13 Oktober 2022, Aliff Syukri mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan memuat naik kandungan video sumbang melalui akaun Instagram miliknya, iaitu @aliffsyukriterlajaklaris dengan niat menyakiti hati orang lain pada 13, 15, 17 dan 21 April 2022.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

72 pekerja asing dicekup dalam serbuan medan selera di Johor Bahru

SERAMAI 72 pekerja asing ditahan dalam operasi bersepadu membabitkan beberapa premis makanan di sekitar bandar raya Johor Bahru selepas...

More Articles Like This