Lepaskan tembakan di KLIA: Hafizul mohon rundingan pengakuan bersalah

Auzaee Athallah
Auzaee Athallah
Penulis merupakan Pengarang Multimedia/wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lima tahun dalam dunia kewartawanan. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2023, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat penyiaran/portal lain sejak tahun 2021. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama mahkamah, jenayah dan politik.

Dari Penulis

PENGURUS syarikat agensi pelancongan, Hafizul Hawari hari ini membuat permohonan di Mahkamah Sesyen Sepang bagi rundingan untuk pengakuan bersalah (plea bargaining) terhadap dua pertuduhan cuba membunuh bekas isterinya serta mencederakan pengawal peribadi mangsa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), tahun lalu.

Perkara itu diberitahu oleh Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin ketika prosiding perbicaraan hari pertama bagi kes itu di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman.

“Hari ini sepatutnya ditetapkan untuk perbicaraan, namun pihak pendakwaan dimaklumkan oleh peguam tertuduh bahawa akan memasukkan satu rundingan untuk pengakuan bersalah (plea bargaining). Pihak pendakwaan akan meneliti tawaran ‘plea bargain’ tersebut,” katanya.

Justeru, beliau memohon agar mahkamah menetapkan satu tarikh sebutan bagi status ‘plea bargaining’ tersebut.

Selepas mendengar makluman daripada pihak pendakwaan, Hakim Ahmad Fuad menetapkan tarikh 17 Julai bagi sebutan semula kes.

Ketika prosiding, turut mengendalikan pendakwaan bersama Raja Zaizul ialah Timbalan Pendakwa Raya Aqharie Durranie Aziz manakala Hafizul diwakili peguam Nik Mohd Faris Syazwan Zainuzzaman dan Muhammad Syafiq Mohamad Lazim.

Untuk pengetahuan, ‘plea bargain’ merupakan satu tawaran terhadap pengakuan bersalah bagi mengurangkan pertuduhan dan hukuman yang dihadapi oleh tertuduh dalam kes-kes jenayah tanpa melalui proses perbicaraan penuh, sekaligus menyegerakan penyelesaian kes-kes jenayah dan mengurangkan kes tertunggak.

Sebelum ini pada 24 Februari lepas , Hafizul dijatuhi hukuman penjara 14 tahun enam bulan serta enam sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kota Bharu selepas dia menukar pengakuan kepada bersalah atas kesemua tujuh pertuduhan memiliki senjata api, peluru, mercun bola tanpa permit, serta memiliki tiga kad pengenalan milik individu lain, pada 15 April 2024.

Pada 25 April 2024, Hafizul, 39, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Sepang atas pertuduhan cuba membunuh isterinya, Farah Md Isa, 39, di Balai Ketibaan Antarabangsa, Terminal 1, KLIA, dekat Sepang sekitar jam 1.09 pagi, 14 April 2024.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun serta denda, dan jika menyebabkan kecederaan hendaklah dipenjara hingga 20 tahun jika sabit kesalahan.

Dia juga mengaku tidak bersalah atas satu lagi pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap pengawal peribadi isterinya itu, Mohd Nur Hadith Zaini, 39, dengan menggunakan pistol yang boleh menyebabkan kematian di lokasi, tarikh dan masa yang sama.

Bagi kes itu Hafizul didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Dalam kejadian itu, Hafizul didakwa melepaskan tembakan di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, Selangor yang disasarkan kepada isterinya namun mengenai seorang pengawal peribadi, mengakibatkan kecederaan.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

72 pekerja asing dicekup dalam serbuan medan selera di Johor Bahru

SERAMAI 72 pekerja asing ditahan dalam operasi bersepadu membabitkan beberapa premis makanan di sekitar bandar raya Johor Bahru selepas...

More Articles Like This