Alex Browning (Devon Sawa) salah seorang watak dalam filem Final Destination melihat menerusi ‘skrin’ aneh yang muncul di depan matanya di mana pesawat yang dinaikinya, Boeing 747 meledak sejurus berlepas dari landasan semasa dia sudah berada dalam pesawat.
Alex kembali ke alam realiti dan cuba membatalkan penerbangan. Pengawal keselamatan bertindak mengeluarkan Alex daripada kapal terbang itu bersama beberapa orang rakan dan gurunya.
Sedang Alex bergaduh dengan rakannya yang berang dengan tingkah laku Alex di terminal menunggu, pesawat yang membawa rakan sekelas mereka meletup dengan api menjulang di ruang udara.
Tidak cukup sekadar itu, guru dan rakannya yang terselamat mati satu persatu dalam insiden-insiden yang membawa maut dalam keadaan mengerikan. Lahirlah beberapa siri filem Final Destination selepas itu dengan idea sama.
Watak utama mendapat penglihatan yang merujuk gambaran insiden yang akan berlaku. Sebahagian bakal mangsa yang tidak mempercayai ajal mengejar mereka dalam insiden itu manakala watak utama yang mendapat gambaran dan rakan-rakan yang mempercayainya serta terselamat terus diburu maut dalam setiap aktiviti kehidupan mereka.

Secawan Teh O Panas
Idea filem tersebut hampir sama berlaku ke atas Wawa (bukan nama sebenar) yang pernah diwawancara Mastika beberapa tahun lalu di kawasan Bukit Indah, Johor Bahru. Wawa juga kerap didatangi ‘skrin’ aneh yang menayangkan sesuatu perkara yang bakal berlaku.
Wawa tidak dapat lupa peristiwa aneh yang berlaku pada tahun 2011. Wawa diarahkan berkursus di Perak. Anehnya dua minggu sebelum pergi ke Perak, Wawa sudah dikunjungi skrin aneh tersebut. Bagaikan menonton televisyen tanpa wayar penuh warna dan amat jelas.
Pada skrin tersebut terpampang sebuah cawan yang berisi teh O panas. Asap nipis melenggang-lenggok keluar daripada cawan itu menandakan airnya sangat panas.
Setiap kali muncul skrin yang memaparkan secawan teh O panas Wawa rasa berdebar. Paparan itu tidaklah terlalu lama. Dari beberapa detik hingga ke minit. Namun paparan skrin kerap berlaku dengan gambaran sama berulang-ulang.
Hati Wawa diselubungi rasa bimbang. Wawa cuba menenteramkan hatinya. Selain beristighfar, berselawat dan Wawa berdoa agar tiada perkara yang tidak diingini daripada berlaku.
Walau bagaimanapun selaku manusia, Wawa tetap tertanya-tanya apakah maksud di sebalik pemaparan secawan teh O panas itu. Selepas itu apa yang akan berlaku dan sebagainya.

Sehinggalah tiba harinya Wawa ke Perak, skrin yang memaparkan secawan teh O panas semakin kerap lalu lalang di depan mata. Tiap kali tiba waktu makan, teh O panas adalah hidangan yang mesti ada.
Wawa meneguk teh O panas tanpa ada apa-apa yang berlaku. Kursus selama lima hari bermula Isnin itu berakhir pada hari Jumaat. Pada hari Khamis Wawa ke dewan makan untuk makan malam seperti biasa. Wawa mengambil secawan teh O panas. Tiba-tiba Wawa berasa tidak sedap hati. Wawa merenung air teh O panas dalam cawan. Wawa cuba habiskan teh O panas itu. Tapi hanya beberapa teguk sahaja Wawa dapat minum. Wawa rasa tidak mampu untuk habiskan. Hati berasa tidak enak.
Entah kenapa! Wawa letak cawan itu kembali di atas meja dan beredar dari meja makan. Lebih kurang pada pukul 9.15 minit malam telefon bimbit Wawa berbunyi.
Suami Wawa telefon: “Wawa… Helmi melecur!”
Wawa tergamam. Rupa-rupanya itulah maksud gambaran yang lalu lalang depan matanya sebelum ini. Wawa mengucap panjang. Cuba menenangkan hatinya.
Kisahnya begini, pada malam itu suami Wawa sedang menjerang air di dapur. Apabila air telah mendidih, suami Wawa bancuh air teh O. Helmi yang berusia setahun sedang berlegar legar di ruang dapur. Suami Wawa sudah ambil langkah waspada dengan meletakkan cerek di tempat tinggi. Jag air pun diletakkan di tengah-tengah meja.
Suami Wawa suapkan Helmi air teh O yang telah disejukkan di atas sudu. Tiba-tiba Helmi angkat tangannya ke atas lalu menjatuhkan tangannya yang padat berisi pada cawan berisi teh O panas yang masih berasap itu. Sekelip mata teh O panas itu tersimbah ke dada dan perut Helmi.
Meraunglah Helmi kesakitan! Mujurlah keadaan Helmi tidak berapa teruk sangat. Namun berbekas juga kesan lecur di badan anak sulung Wawa itu. Selepas peristiwa itu Wawa tidak lagi melihat skrin yang memaparkan secawan teh O panas lalu lalang di depan mata.
Skrin Lori Berkepala Putih
Beberapa detik waktu pun berlalu. Wawa kembali didatangi skrin ghaib muncul di depan matanya. Kali ini sebuah lori satu tan berkepala putih tertayang di depan matanya. Skrin itu muncul semasa Wawa sedang beristirahat di rumah ataupun sedang memandu kereta.
Wawa mengelipkan matanya beberapa kali bagi menghilangkan skrin yang menayangkan lori berkepala putih itu kerana ia mengganggu pemanduan Wawa. Bahkan Wawa hampir terbabas disebabkan lori berkepala putih itu muncul tiba-tiba bagaikan berada betul-betul di depannya. Apabila Wawa kembali ke alam realiti dan keretanya sudah berhenti di tengah jalan! Mujur tiada kenderaan yang lalu lalang di jalan Segamat pada waktu itu.
Hampir seminggu Wawa di ganggu dengan kemunculan skrin lori berkepala putih. Wawa memandu dengan berhati-hati bagi mengelakkan kemalangan. Manalah tahu skrin lori berkepala putih mengundang bahaya kepada dirinya pula!

Sampailah suatu pagi Wawa ke sebuah premis kerajaan atas sesuatu urusan. Kenderaan sudah memenuhi lot parkir di bahagian hadapan. Wawa mendapati dua baris lot parkir kosong di bahagian paling belakang. Dan Wawa mengenakan gear undur. Sewaktu Wawa undur sambil mengilas stereng kereta tepat agar masuk dalam garisan parkir, entah bagaimana kereta Wawa berundur dengan agak laju daripada biasa. Tapi Wawa tidak menekan brek kerana tiada kenderaan lain di belakangnya.
Bummmmmm! Allahuakbar! Wawa bertakbir dan mengucap panjang. Jantung Wawa berdegup kencang apabila melihat menerusi cermin pandang belakang buntut kereta Kancil nya terperosok di bawah kepala lori bercat putih yang sering muncul di ‘skrin’ yang muncul di depan matanya!
Wawa turun dari kereta bagi melihat sendiri lori tersebut. Seratus peratus sama! Hampir sejam Wawa menunggu di situ bagi bertemu pemandunya. Bulu roma Wawa berdiri tegak kerana sepanjang Wawa menunggu jangan katakan pemandu lori misteri itu, bahkan tiada satu pun kereta lain kelihatan melalui tapak parkir itu. Hanya kereta Wawa dan lori berkepala putih itu sahaja ada di dua baris lot parkir yang kosong itu.
Apabila Wawa memberanikan dirinya membelek dengan lebih dekat jelaslah lori itu di parkir melebihi garisan depannya dan memakan ruang lot parkir Wawa. Bumper belakang kereta Kancil Wawa hancur remuk manakala kepala lori itu pula sedikit pun tidak rosak dan tercalar.
Segala-galanya terasa aneh di hati Wawa ketika itu. Dari mana munculnya lori itu secara tiba-tiba pula sedangkan Wawa pasti betul dua barisan parkir di situ kosong daripada kenderaan lainnya. Wawa masuk ke dalam keretanya apabila kepalanya dipenuhi fikiran negatif. Kepala lori itu dirasakannya seolah-olah makhluk yang sedang memerhatikan setiap gerak-gerinya.
Wawa menghidupkan enjin lalu meninggalkan kawasan itu dengan seribu satu persoalan.
Motor Aini Pancit
Adakah skrin ajaib yang muncul tiba-tiba itu hanya memberikan petanda tidak baik kepada Wawa dan keluarga Wawa semata-mata? Tidak. Ini terbukti apabila Wawa bersama dengan rakan sekerja dalam van syarikat. Masa itu kereta Wawa rosak dan dihantar ke bengkel. Wawa tiada pilihan lain melainkan menaiki van syarikat untuk berulang alik ke syarikat dan rumahnya.
Petang itu van dalam perjalanan menghantar pekerja pulang. Wawa antara yang berada di dalamnya. Semasa van keluar ke jalan utama muncul satu ‘skrin’ di mata Wawa. Skrin itu menunjukkan motor yang ditunggangi Aini, seorang rakan sekerjanya sedang laju di atas jalan. Kemudian tiba-tiba tayar motornya pancit.
Aini berusaha mengawal motornya agar tidak terbabas. Berdesup kenderaan memintas Aini yang terhuyung-hayang di tengah jalan. Kecut hati Wawa melihat situasi yang mencemaskan itu. Namun syukur Aini dapat mengawal motornya ke tepi lalu terkandas di simpang jalan.

“Motor Aini pancit. Mari kita tolong dia!” kata Wawa spontan mengejutkan rakan-rakan yang lain dalam van itu.
“Macam mana kau tahu?” soal rakan Wawa.
Wawa angkat bahu dan sukar untuk menerangkan kepada rakan-rakannya yang lain. Akhirnya Wawa diperli dan disindir bahkan diketawakan. Tapi Wawa bertegas dan mukanya serius mengatakan Aini terkandas di simpang jalan yang akan dilalui oleh van.
Semua rakannya tidak mahu percaya. Tetapi rakan-rakan Wawa tetap menjengukkan kepala melihat keluar apabila van melalui simpang jalan yang dimaksudkan Wawa itu. Alangkah terkejutnya mereka apabila melihatkan Aini terkial-kial di tepi motornya. Sampai van syarikat memberikan lampu kecemasan untuk mendekati Aini dan membantunya.
Wajah Rakan Lama
Dalam beberapa situasi kemunculan skrin aneh tersebut, ada antaranya yang menyedihkan Wawa kerana ia membabitkan kemalangan maut. Antara yang diingati Wawa ialah dengan peristiwa skrin yang menayangkan wajah Syafa, rakan sekolahnya. Wawa tidaklah rapat sangat dengan Syafa. Mereka tinggal setaman dan sesekali sahaja berjumpa di musim raya.
Suatu hari Syafa menghubungi Wawa: “Boleh kita jumpa sekejap.” Wawa mengiakan sahaja.
Wawa tidak pandang serius permintaan Syafa sebab Syafa pun selalunya tidak serius sangat. Selang seminggu kemudian, Wawa menaiki bas untuk pulang ke kampung halaman. Semasa basnya memasuki jalan Segamat, muncul ‘skrin’ yang menayangkan wajah Syafa datang kepadanya. Wawa terkejut. Berulangkali skrin itu tertayang di matanya sampailah bas bergerak perlahan akbat jalan sesak kerana ada kemalangan maut.
Dari dalam bas, Wawa lihat sekujur mayat ditutupi surat khabar. Darah mengalir di atas jalan. Terdapat sebuah motor tersadai di parit. Apabila Wawa tiba di rumahnya, ayahnya memberitahu mangsa kemalangan itu adalah Syafa!
Tragedi itu berlaku selang beberapa minit sebelum bas yang dinaiki Wawa melintasi jalan itu. Motor yang ditunggangi Syafa terbabas dan Syafa tercampak ke tengah jalan sebelum digilis lori treler!

PEMBACA budiman, adakah ‘skrin’ yang menunjukkan peristiwa yang bakal berlaku merupakan suatu anugerah ataupun suatu ujian daripada Yang Maha Kuasa kepada Wawa?
Berdasarkan skrin ajaib yang dilihat Wawa bermula daripada secawan teh O panas, lori berkepala putih, motor Aini pancit di simpang jalan dan wajah rakan lama yang terpampang di hadapan matanya, jelas Wawa seorang yang istimewa. Ada banyak lagi kejadian paparan skrin ini yang dialaminya, yang diceritakan di atas hanya secebis daripada yang dialaminya.
Sebenarnya, Wawa yang berusia lingkungan 30an semasa kami temui sejak kecil lagi dapat melihat makhluk ghaib. Malah, kedua-dua anak Wawa pun mempunyai kelebihan itu, dapat melihat makhluk halus di mana-mana sahaja. Namun, pengalaman paranormal Wawa berkaitan ‘skrin’ ajaib yang dialaminya antara yang aneh.
__
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

