CADANGAN supaya kerajaan melanjutkan had usia persaraan kepada 65 tahun belum dibawa untuk dibincangkan Jemaah Menteri.
Memetik laporan BH Online, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, cadangan tersebut perlu dikaji terlebih dahulu implikasinya.
Bagaimanapun, kata beliau, cadangan menaikkan had usia persaraan kepada 65 tahun wajar dipertimbangkan.
“Cadangan) itu belum dibawa ke Kabinet… selalunya, kertas (cadangan) akan dibincangkan sebelum dibentangkan kepada Jemaah Menteri.
“Jadi, biar mereka mengkaji implikasinya, (soal) kewangan, peluang pekerjaan baharu… banyak implikasinya.
“Namun, cadangan itu wajar diberikan perhatian dan pertimbangan. Biar agensi terbabit (membincangkan) soal peluang pekerjaan, kos dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hadiah Bahasa Public Bank dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), hari ini.
Kelmarin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, dilaporkan berkata kerajaan wajar mempertimbangkan untuk menaikkan had usia persaraan daripada 60 kepada 65 tahun.
Azalina dipetik berkata, ia kerana ramai dalam kalangan mereka yang berusia 60 tahun ke atas masih aktif, malah ada beberapa negara lain turut melaksanakan had usia persaraan hingga 65 tahun.
“Ini pandangan peribadi saya, mungkin kerajaan patut mempertimbangkan had usia persaraan 65 tahun.
“Ini kerana ramai golongan berusia 60 tahun ke atas masih aktif sekarang dan ramai orang tua masih kelihatan muda,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

