POLIS mengesahkan seorang wanita ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes simbah asid yang menyebabkan kecedaraan parah terhadap seorang pemilik spa di Beris Kubur Besar, dekat Bachok, Sabtu lepas.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, suspek itu ditahan di hadapan sebuah kilang getah di Kuala Krai sekitar jam 4 petang semalam dalam satu operasi bersepadu oleh Bahagian Siasatan Khas (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) bersama anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok.
Katanya, suspek bekerja di sebuah kilang getah sementara semakan mendapati wanita berkenaan tidak memiliki rekod jenayah lampau.
“Polis turut merampas sebuah kenderaan jenis Perodua Myvi, telefon bimbit dan alat kawalan kenderaan,” katanya.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan Mahkamah Majistret Bachok membenarkan reman selama lima hari bagi membantu siastan pihak polis pagi tadi.
Sabtu lalu media melaporkan seorang peniaga wanita disimbah cecair dipercayai asid oleh individu tidak dikenali dalam satu kejadian berhampiran sebuah kedai serbaneka di Beris Kubur Besar, Tawang, Bachok.
Mangsa dilaporkan melecur teruk pada bahu, belakang, lengan, dan kaki, namun dalam keadaan stabil menerima rawatan di Wad Unit Rawatan Kebakaran, Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian.

Penulis merupakan Pengarang Multimedia/wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lima tahun dalam dunia kewartawanan.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2023, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat penyiaran/portal lain sejak tahun 2021.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama mahkamah, jenayah dan politik.

