SPAN rancang tukar 180 lagi pili cekap air di seluruh negara tahun ini

Afiq Mohd. Shah
Afiq Mohd. Shah
Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

Dari Penulis

KEMENTERIAN Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) menerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) merancang untuk menukar sebanyak 180 lagi pili cekap air di seluruh negara tahun ini.

Rancangan itu susulan kejayaan SPAN melaksanakan pemasangan sebanyak 80 pili cekap air di dua masjid di Kelantan dan Terengganu, hujung minggu lalu.

Penukaran pili cekap air SPAN itu merupakan sebahagian daripada pengisian program PETRA Skuad Zon Timur yang telah menjelajah Kelantan dan Terengganu selama dua hari sehingga semalam.

Ia juga merupakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) SPAN kepada komuniti. Setakat Mei 2025, SPAN telah melaksanakan penukaran sebanyak 125 pili kepada pili cekap air di seluruh Malaysia.

PETRA memberitahu, pemasangan pili cekap air itu melibatkan masing-masing sebuah masjid di Kelantan dan Terengganu.

Menurutnya, sebanyak 39 pili cekap air telah dipasang di Masjid Al Hijrah, Penempatan Semula Nelayan (PSN) Tok Bali di Kelantan.

Pada masa sama, sebanyak 41 paip telah ditukar kepada pili cekap air di Masjid Al Huda, Kampung Rantau Abang, Terengganu.

“Penukaran kesemua 80 pili cekap air ini bagi memastikan jemaah yang hadir ke masjid dapat menggunakannya untuk tujuan berwuduk dengan lebih jimat.

“Pili cekap air yang dipasang adalah jenis DOE TS RF-36 iaitu dikategorikan sebagai tiga bintang yang mengeluarkan air antara 1.5 liter hingga 4 liter sahaja dalam tempoh 1 minit bukaan penuh.

“Penukaran kepada pili cekap air ini mampu menjimatkan sehingga 69 peratus daripada bil bulanan sekiranya tiada sebarang isu kerosakan atau kebocoran pada paip dalaman masjid,” katanya.

Mengulas lanjut, PETRA turut memaklumkan, program penukaran pili cekap air itu telah pun berlangsung sejak Februari lalu dengan Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Laut Kelantan menjadi penerima pertama menerusi pemasangan sebanyak 45 pili.

Katanya, projek tersebut akan diteruskan lagi selepas ini termasuk penukaran 100 pili di lima lokasi di Kelantan.

“Ia melibatkan kerjasama antara SPAN dan Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) bagi projek membaik pulih tandas di rumah ibadat.

“Selain itu, satu lagi projek penukaran pili akan dilaksanakan melibatkan 80 pili di dua buah masjid di Jalan Baru, Seberang Perai, Pulau Pinang,” katanya.

Pelekat ‘Produk Jimat Air’ yang dilekatkan selepas pemasangan pili cekap air di Masjid Al-Hijrah PSN Tok Bali, Kelantan, Sabtu lalu. GAMBAR: Ihsan PETRA

Baca artikel lain: Kuota NEM Rakyat ditambah 100MW, PETRA kaji mekanisme baharu program solar di bumbung

PETRA Skuad Zon Timur melekatkan pelekat jimat air sebagai simbolik selepas pemasangan pili cekap air di Masjid Al-Hijrah PSN Tok Bali, Kelantan, Sabtu lalu. GAMBAR: Ihsan PETRA

Sementara itu, selain penukaran pili cekap air, PETRA Skuad Zon Timur turut melaksanakan program OPS SEDUT IWK yang diadakan di Masjid Al-Hijrah PSN Tok Bali, Kelantan dan Masjid Al Huda, Kampung Rantau Abang, Terengganu.

Katanya, OPS SEDUT IWK itu merupakan program kesedaran dan sesi libat urus bersama komuniti dalam meningkatkan lagi kesedaran semua pemilik tangki septik untuk menjalankan tanggungjawab mengosongkan tangki demi kelestarian alam sekitar.

PETRA memberitahu, tangki septik adalah sistem pembentungan tidak bersambung yang digunakan oleh premis untuk menyimpan air kumbahan dan enapcemar secara sementara.

Enapcemar yang memasuki tangki itu akan mendap ke dasar tangki dan air yang bersih akan mengalir keluar berhampiran permukaan atas tangki menuju ke longkang atau parit.

Sehubungan itu, PETRA menjelaskan, ia merupakan proses biologi semula jadi yang lama kelamaan, tangki tersebut akan penuh dan perlu dikosongkan secara berkala iaitu sekurang-kurangnya dua tahun sekali tertakluk kepada kapasiti tangki dan isi rumah.

Jelasnya, pengosongan tangki septik penting bagi mengelak enapcemar terkumpul menjadi penuh dan keras sehingga boleh memudaratkan alam sekitar dan sistem pembetungan di premis berkenaan.

“Bagi negeri Kelantan dan Terengganu, terdapat kira-kira 115,456 pengguna tangki septik yang perlu menjalani proses nyahenapcemar secara berkala bagi memastikan tangki tidak penuh dan fungsi sistem pembentungan terjaga.

“Melalui program OPS SEDUT IWK, pemilik tangki septik di Kelantan dan Terengganu digalakkan untuk menjalankan pengosongan tangki secara berjadual iaitu sekurang-kurangnya sekali dalam setiap dua tahun.

“Usaha ini adalah penting untuk memastikan persekitaran yang bersih dan mengelakkan sebarang risiko pencemaran kepada saliran awam,” katanya.

Sementara itu, Masjid Al-Hijrah Tok Bali di Kelantan dan Masjid Al Huda, Kampung Rantau Abang, Terengganu turut menjadi lokasi pelaksanaan CSR Tenaga Nasional Berhad (TNB) menerusi pemasangan sistem solar fotovoltaik (PV).

Inisiatif CSR yang terkandung di bawah teras Ekonomi Sosial menerusi pemasangan solar di rumah-rumah ibadat itu merupakan antara langkah syarikat berkenaan memberi manfaat kepada rakyat.

Pemasangan sistem solar di kedua-dua masjid itu adalah di bawah skim Net Energy Metering (NEM) GoMEn di mana tenaga solar yang dijana pada waktu siang akan terus digunakan untuk keperluan elektrik manakala lebihan tenaga pula dieksport ke grid TNB.

“Lebihan yang dieksport tersebut akan direkodkan dan diimport semula untuk kegunaan pada waktu malam.

“Pelaksanaan sistem solar di Masjid Al Huda akan menyaksikan penjimatan sebanyak RM9,307 untuk tahun pertama manakala RM5,499 kepada Masjid Al-Hijrah bagi tempoh sama,” katanya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Remaja 17 tahun maut Honda Wave terlibat kemalangan dengan lori

SEORANG remaja berusia 17 tahun maut selepas motosikal jenis Honda Wave yang ditunggang terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori...

More Articles Like This