POLIS memgesahkan penahanan empat daripada lima suspek yang dipercayai terlibat dalam kes samun sebuah rumah di Semenyih dengan menyamar sebagai anggota polis.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata keempat-empat suspek berusia antara 33 sehingga 38 tahun diberkas oleh polis Cawangan D9 Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor dan D9 Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kajang sekitar jam 1.15 pagi, Sabtu lepas.
Katanya, kesemua suspek itu turut disyaki terlibat di dalam kes samun di Dengkil, Bukit Puchong dan Bukit Raja serta Kajang.
“Hasil tangkapan dan pemeriksaan yang dibuat, polis merampas sebuah kenderaan jenis Perodua Myvi berwarna kuning, serta tiga buah telefon bimbit dan pakaian yang dipercayai digunakan dalam kejadian samun tersebut.
“Kesemua tangkapan telah direman sehingga hari ini bagi membantu siasatan, manakala salah seorang suspek telah diberikan jaminan polis pada Ahad lalu.
“Siasatan masih dijalankan bagi mengesan seorang lagi rakan sejenayah yang masih bebas sebelum kertas siasatan dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya bagi mendapatkan arahan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan merompak secara berkumpulan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.
“Kes turut disiasat di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana suspek dipercayai menyamar sebagai anggota polis yang mana jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara tidak lebih dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” ujarnya lagi.
Beliau turut menyeru agar masyarakat sentiasa berwaspada dengan modus operandi suspek yang menyamar dan memperdayakan mangsa dengan memakai vest polis bagi membuat pemeriksaan.
Masyarakat yang mempunyai maklumat boleh melaporkan kepada mana-mana balai polis berdekatan atau berhubung dengan pegawai penyiasat kes, Inspektor Ghazali Zulkifli di talian 016-9140758 bagi membantu siasatan.
Pada 5 Mei lalu, seorang pesara berusia 55 tahun mengalami kerugian sebanyak RM9,000 selepas disamun kumpulan berkenaan.
Berdasarkan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian, dua suspek memakai pelitup muka, manakala dua lagi memakai ‘vest’ polis dan mereka masuk ke dalam rumah mangsa dengan cara memecah masuk pintu hadapan rumah.

Penulis merupakan Pengarang Multimedia/wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lima tahun dalam dunia kewartawanan.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2023, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat penyiaran/portal lain sejak tahun 2021.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama mahkamah, jenayah dan politik.

