PEMANDU ‘bas pink’ yang merempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) sehingga menyebabkan seorang lelaki maut telah ditahan polis.
Mangsa, Muhammad Aiman Mohd Farid, 23, yang juga pekerja subkontraktor Tenaga Nasional Berhad maut tercampak selepas dirempuh sebuah bas henti-henti dalam satu kemalangan dekat Taman Awan Biru, Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ), semalam.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, dalam kejadian pada 4.55 petang itu, bas tersebut dalam perjalanan dari Terminal Bas Melaka Sentral menuju ke Jalan AMJ manakala SUV dipandu Muhammad Aiman dari arah Rembia.
Katanya, apabila tiba di tempat kejadian, pemandu SUV dipercayai memberhentikan kenderaannya di bahu jalan sebelum bas itu merempuhnya dari arah belakang.
“Pelanggaran itu menyebabkan Muhammad Aiman tercampak keluar dari kenderaanya dan tercampak ke dalam longkang.
“Mangsa yang mengalami kecederaan di kepala disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan, manakala rakannya, Muhammad Hakimi Hafiz Baharin, 22, cedera,” katanya.
Ashari berkata, pemandu bas dan penumpang wanita, 53, tidak cedera.
Susulan itu katanya, pihaknya telah menahan pemandu bas terbabit dan akan mendapatkan perintah reman terhadap lelaki berusia 37 tahun itu di Mahkamah Majistret Alor Gajah, hari ini bagi membantu siasatan.
“Lelaki itu sudah menjalani saringan air kencing di Bahagian Narkotik Alor Gajah dan disahkan negatif selain tiada rekod jenayah serta saman trafik,” katanya.
Mengulas lanjut beliau berkata, pemeriksaan mendapati terdapat rakaman papan pemuka bas berkaitan kemalangan maut itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Penulis merupakan Pengarang Multimedia/wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lima tahun dalam dunia kewartawanan.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2023, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat penyiaran/portal lain sejak tahun 2021.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama mahkamah, jenayah dan politik.

