GADIS dikenali sebagai Bella bersama tujuh lagi rakannya yang sebelum ini mengaku bersalah atas empat pertuduhan mengugut bunuh, mengurung, pemerasan dan mendatangkan kecederaan terhadap seorang lelaki pada April lepas menukar pengakuan mereka di Mahkamah Majistret Johor Bahru, hari ini.
Bella atau nama sebenarnya Nuredrianna Balqqisyh Anabella Norazman, 22, bersama-sama tujuh lelaki menukar pengakuan mereka kepada tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan semula di hadapan Majistret A Shaarmini dan Majistret Nur Fatin Mohamad Farid.
Tujuh lagi tertuduh lelaki yang terbabit ialah Muhammad Aqmal Hafifi Mustafa Kamal, 25; Ahmad Rushdi Jumadi, 23; Muhammad Nur Shafiq Abdullah, 25; Muhammad Haikal Zulkarnain, 19; Mohamad Amierul Hakim Shamsuri, 23; Mohamad Danish Hakim Kamaruddin, 20; dan Syamsul Hamiziey Saiful Razali, 19.
Mengikut pertuduhan pertama, kesemua tertuduh bersama dua lagi yang masih bebas didakwa dengan sengaja melakukan pemerasan dengan mendatangkan ketakutan terhadap Muhammad Faris Syahmi Mohd Ridzwan, 22, bahawa mereka tidak akan berhenti memukul mangsa sehingga dia bersetuju membayar wang RM3,000.
Kesalahan itu turut mendorong mangsa menyerahkan wang Rm650 dan kunci motosikal jenis Yamaha Y16 kepada tertuduh, Mohammad Amierul Hakim.
Manakala bagi pertuduhan kedua, tujuh lelaki terbabit bersama-sama seorang yang masih bebas, didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan ke atas mangsa yang sama.
Bagi pertuduhan ketiga, kesemua lapan tertuduh bersama-sama dua lagi yang masih bebas, didakwa telah mengurung mangsa yang serupa.
Sementara itu, mengikut pertuduhan keempat, kesemua tertuduh secara bersama-sama menakutkan secara jenayah terhadap Muhammad Faris Syahmi dengan ugutan hendak menyebabkan kematian.
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan mereka di sebuah pangsapuri di Plentong, Masai, Johor Bahru, antara jam 10 malam hingga 4 pagi, pada 18 hingga 19 April lalu.
Bagi pertuduhan pertama hingga ketiga, kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506; Seksyen 384 dan Seksyen 342 Kanun Keseksaan, manakala pertuduhan keempat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Ketika prosiding, Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Fatihah Mohd Nizam dan Nik Noraini Nik Azman.
Mahkamah menetapkan 18 Julai depan untuk penyerahan dokumen dan lantikan peguam tertuduh yang masih tidak diwakili peguam serta memerintahkan agar keempat-empat kes dibicarakan secara bersama.
Mahkamah turut memerintahkan jaminan ke atas tertuduh diteruskan dengan ketetapan prosiding terdahulu.
Pada 25 April lalu, Bella dan tujuh lelaki dilaporkan mengaku bersalah di Mahkamah Majistret atas empat pertuduhan termasuk melakukan ugutan jenayah dengan mengeluarkan ugutan bunuh, serangan berkumpulan dan mengurung seorang lelaki secara salah, minggu sebelumnya.
Media melaporkan semua suspek ditahan kira-kira jam 2.30 pagi 21 April lalu, ketika cuba melarikan diri dari Pangsapuri Plentong Baru Masai, Pasir Gudang ,Johor Bahru.
Sebelum ini, tular di media sosial beberapa klip video, memaparkan seorang pemuda dalam keadaan lemah selepas dipukul beramai-ramai oleh sekumpulan lelaki di dalam sebuah rumah yang dipercayai berlaku di Pasir Gudang.

