PEMANDU bas yang terlibat dalam nahas yang meragut nyawa 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Gerik, Isnin lalu akan didakwa esok.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, lelaki berusia 39 tahun itu dijangka didakwa di Mahkamah Majistret Gerik selepas solat Jumaat.
Menurutnya, pemandu bas itu akan didakwa sebanyak 15 pertuduhan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan satu pertuduhan di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Esok lepas (solat) Jumaat akan didakwa di Mahkamah Majistret Gerik,” katanya memetik laporan Astro Awani.
Terdahulu, Noor Hisam berkata, lelaki berusia 39 tahun itu ditahan sekitar jam 5.45 petang Khamis selepas dibenarkan keluar dari hospital.
Menurutnya, suspek akan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Lelaki warga tempatan itu sebelum ini menerima rawatan di Hospital Taiping selepas mengalami kecederaan di tangan sejak hari pertama nahas itu berlaku.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi Isnin, bas yang membawa 42 penumpang dikatakan hilang kawalan sebelum melanggar sebuah kenderaan pelbagai guna dinaiki empat sekeluarga di di Kilometer 53, Jalan Raya Timur-Barat Gerik-Jeli berhampiran Tasik Banding.
Kejadian berlaku ketika bas persiaran yang disewa khas itu dalam perjalanan dari Jertih, Terengganu ke kampus UPSI di Tanjung Malim selepas tamat cuti Hari Raya Aidiladha.

