“Saya jumpa diri saya semula” – Azharina kongsi inspirasi daripada Dr Healing

Anna Mohamed
Anna Mohamed
Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

Dari Penulis

PENYANYI bersuara lantang penuh jiwa, Azharina Azhar berkongsi kisah peribadinya mengenai proses penyembuhan emosi dan pemulihan semangat yang di lalui bersama figura yang kini dikenali sebagai “Dr Healing”, iaitu Dr Hisham Dzakiria. 

Dalam satu sesi temu bual baru-baru ini, Azharina memberitahu kehadiran Dr Hisham dalam hidupnya menjadi satu titik perubahan yang sangat bermakna, terutama dalam proses dia membina semula kekuatan dalaman selepas melalui pelbagai cabaran hidup yang tidak mudah. 

“Saya pernah sampai ke tahap terlalu penat secara mental dan emosi. Ramai nampak saya menyanyi, tersenyum atas pentas, tapi hakikatnya saya sedang simpan terlalu banyak luka lama. 

“Bila saya sertai sesi dengan Dr Hisham, saya mula menangis tanpa sedar. Rasa macam saya dilepaskan, saya dibebaskan. 

“Itu pengalaman yang saya tak pernah rasa sebelum ini,” katanya.

Walaupun sudah terbiasa tampil kuat di hadapan khalayak, hakikatnya hati manusia tetap rapuh apabila tidak dijaga. 

Itulah yang membawanya kepada sesi khas bersama Dr Hisham, yang kini mencipta fenomena sebagai jurulatih dan penyembuh jiwa yang bukan sahaja berpengaruh dalam dunia korporat, malah semakin mendapat tempat dalam kalangan artis dan tokoh masyarakat. 

Dr Hisham Dzakiria, atau lebih dikenali sebagai Dr Healing, merupakan seorang ‘coach’, pendidik, dan pakar transformasi diri yang telah membantu ribuan individu dari pelbagai latar belakang untuk bangkit semula daripada tekanan hidup, trauma, dan krisis identiti. 

Beliau terkenal dengan pendekatan holistik yang menyatukan aspek tubuh, emosi, minda dan jiwa dalam setiap sesi yang dikendalikannya. 

Menurut Azharina, apa yang membezakan Dr Hisham daripada mana-mana penceramah atau jurulatih lain ialah keupayaannya melihat terus ke dalam jiwa seseorang, tanpa menghakimi, dan mencipta ruang yang benar-benar selamat untuk seseorang itu meluahkan serta memulihkan diri. 

“Saya tak malu nak cakap saya pun perlukan healing. Dan saya sangat bersyukur ditemukan dengan Dr Hisham. 

“Saya doakan lebih ramai orang berpeluang rasa sendiri magis yang beliau bawa,” ujar Azharina yang kini lebih terbuka bercakap tentang kesihatan mental dan kesejahteraan emosi. 

Dalam kalangan selebriti, kehadiran Dr Hisham mula menjadi topik hangat kerana pendekatannya yang penuh keikhlasan dan jauh dari sekadar teori. 

Ramai menyifatkannya sebagai ‘Coach Jiwa Negara’, kerana peranannya membantu manusia kembali menemui makna hidup dan kekuatan diri yang pernah hilang.

Bukan sahaja Azharina, malah beberapa nama lain dalam industri hiburan turut menyuarakan rasa terinspirasi selepas mengikuti program atau sesi coaching bersama Dr Hisham. 

Ini termasuk personaliti televisyen, usahawan selebriti dan juga golongan muda yang mencari arah hidup selepas melalui pengalaman pahit. 

Dr Hisham yang kini memimpin syarikat EcoTwin Step Sdn. Bhd., juga merupakan figura korporat yang disegani, namun tetap memilih untuk terus menyumbang kepada pembangunan emosi dan spiritual masyarakat melalui program seperti Healing the Inner Child, Impactful Leadership, dan Creating Your Own Wave in Business. 

Beliau juga memegang PhD dalam bidang Pembelajaran Sepanjang Hayat dari United Kingdom, dan memiliki pengalaman luas dalam latihan, pendidikan, dan kepimpinan organisasi di peringkat antarabangsa.

Kini, dengan sokongan selebriti seperti Azharina yang berani berkongsi pengalaman secara terbuka, nama Dr Healing semakin mendapat tempat dalam hati masyarakat. 

Ramai mula sedar bahawa kejayaan sebenar tidak hanya diukur melalui kemasyhuran atau kekayaan, tetapi juga melalui ketenangan jiwa dan hubungan dengan diri sendiri. 

Dr Hisham terus aktif menjalankan sesi coaching peribadi dan kumpulan, serta bekerjasama dengan institusi, organisasi, dan komuniti yang ingin membina semula kekuatan mental, kepimpinan berjiwa dan budaya kerja yang lebih manusiawi. 

Bagi Azharina, perjalanan ini baru sahaja bermula. 

“Saya kini menyanyi dengan hati yang lebih ringan. Bila hati sembuh, suara kita pun jadi lebih jujur,” katanya mengakhiri perbualan.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Selepas 7 tahun menyepi, Jason Mraz pilih Malaysia untuk konsert mega Oktober depan! Tiket mula dijual 11 Jun ini

SELEPAS tujuh tahun menanti, peminat muzik tempatan bakal kembali disatukan dengan pelantun lagu hit global I’m Yours, Jason Mraz,...

More Articles Like This