SEORANG bekas pelumba berbasikal dituduh melakukan amang seksual fizikal terhadap pelatihnya yang merupakan seorang remaja perempuan berusia 15 tahun, di sebuah stor simpanan basikal, tahun lalu.
Bagaimanapun, tertuduh Nor Effandy Rosli, 58, yang juga merupakan bekas atlet berbasikal lebuh raya kebangsaan mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norshila Kamarudin.
Mengikut kertas pertuduhan, Nor Effandy didakwa selaku seorang yang mempunyai hubungan amanah sebagai jurulatih berbasikal, telah melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja terbabit di stor simpanan basikal di Taman Desa Keramat, dekat Hulu Langat pada jam 6 petang, sekitar Jun tahun lepas.
Justeru, dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTKK) 2017 dibaca bersama Seksyen 16(1) akta yang serupa.
Bagi Seksyen 14(a) AKSTKK 2017 memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga sebatan, jika sabit kesalahan.
Manakala bagi Seksyen 16(1) akta itu memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih lima tahun dan minimum 2 sebatan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Nadiah Malek Fauzie menawarkan jaminan sebanyak RM15,000 selain mencadangkan Nor Effandy untuk menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di balai polis berdekatan kediaman setiap bulan sebagai syarat tambahan.
Bagaimanapun, peguam Hamdan Hamzah yang mewakili Nor Effandy memohon agar jaminan itu dikurangkan memandangkan anak guamnya itu berkerja sebagai seorang pembantu penguatkuasa di sebuah agensi pihak berkuasa tempatan dengan gaji RM5,000 sebulan.
“Tertuduh menanggung empat orang anak sementara isterinya tidak bekerja. Tertuduh juga tiada risiko melarikan diri dan berjanji akan hadir ke mahkamah pada tarikh-tarikh yang akan ditetapkan,” katanya.
Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak, Hakim Norshila membenarkan jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin.
Beliau turut mengarahkan agar Nor Affendy untuk menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai, dan melarang tertuduh mengganggu serta menghubungi mangsa yang boleh menjejaskan perjalanan kes selain melaporkan diri di balai polis berdekatan sebulan sekali, sebagai syarat tambahan jaminan.
Mahkamah kemudian menetapkan 1 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.
Untuk rekod, Effandy merupakan bekas pemenang pingat perak Sukan Komanwel 1998 acara 184 kilometer lepas beramai-ramai selain pernah menyertai Le Tour de Langkawi (LTdL) selama 10 tahun berturut-turut dari 1996 hingga 2005.

Penulis merupakan Pengarang Multimedia/wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lima tahun dalam dunia kewartawanan.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2023, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat penyiaran/portal lain sejak tahun 2021.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama mahkamah, jenayah dan politik.

