JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bersama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan menjalankan siasatan terperinci berhubung isu tular di Facebook melibatkan penganjuran program motivasi rumah tangga yang didakwa terpesong dan bercanggah syarak.
Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee menegaskan, pihaknya mengambil serius kebimbangan orang awam susulan penularan isu yang melibatkan penganjuran program tersebut.
Pada masa sama, kata beliau, siasatan terperinci itu akan dilaksanakan bagi memastikan maklumat yang diperoleh adalah jelas dan sahih sebelum sebarang tindakan wajar diambil.
Menurut Sirajuddin, ia selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
“Kerajaan MADANI melalui JAKIM secara konsisten bersama pihak berkuasa agama negeri tegas dalam menangani sebarang isu yang melibatkan kepentingan umat Islam khususnya berkaitan keharmonian institusi kekeluargaan, akhlak dan pemeliharaan nilai-nilai Islam.
“Usaha bersepadu ini juga adalah sebahagian daripada komitmen JAKIM dan pihak berkuasa agama negeri-negeri dalam menangkis sebarang gejala serta anasir menyimpang dan pengaruh budaya songsang dalam masyarakat,” katanya dalam kenyataan.
Baca artikel lain: JAKIM bekerjasama dengan KPDN pantau pemegang sijil halal
Mengulas lanjut, Sirajuddin turut menyeru seluruh rakyat Malaysia khususnya umat Islam supaya tidak terpengaruh dengan fahaman dan gaya hidup yang bertentangan dengan ajaran Islam serta nilai budaya tempatan.
“Orang ramai disaran untuk sentiasa bekerjasama dengan JAKIM dan pihak berkuasa agama negeri bagi menyalurkan maklumat serta infomrasi berkaitan isu-isu seperti ini dalam menangani sebarang unsur bercanggah dengan syarak,” katanya.
Terdahulu, pengguna media sosial dikejutkan dengan pendedahan berhubung penganjuran program motivasi rumah tangga yang diusahakan oleh sepasang suami isteri.
Pengguna Facebook yang menggunakan nama Masyitah Ashari itu mendedahkan bahawa penganjuran program berkenaan yang dikatakan berlangsung antara 27 hingga 30 September lalu, turut diselitkan dengan tarian bogel serta upacara yang dilihat sebagai syirik.
Dia mendakwa, perkara berkenaan berlaku pada hari terakhir penganjuran program, turut membabitkan peserta diberikan minuman yang membuatkan mereka menjadi lebih berani.
Dalam beberapa hantaran lain, Masyitah juga mendakwa program yang dijalankan pasangan suami isteri tersebut termasuk diadakan di negara jiran turut menyelitkan unsur-unsur agama lain.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

