SEGALA maklumat berkaitan pelbagai urusniaga kontroversi Datuk Farhash Wafa Salvador yang didedahkan di pelbagai platform sudah cukup untuk membolehkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka kertas siasatan, kata bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli.
Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan berkata, hal itu sejajar dengan tindakan SPRM membuka kertas siasatan terhadap tokoh-tokoh lain yang dituduh menjadi kaya secara tiba-tiba.
Menurut Rafizi, konsistensi tindakan SPRM itu akan membuatkan lebih ramai rakyat yakin dengan usaha Kerajaan MADANI membanteras rasuah seperti yang diperjuangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Adalah sangat berbahaya jika pentadbiran Anwar dilihat tidak konsisten dan memilih bulu dalam membanteras rasuah, sekiranya ada kes-kes besar yang melibatkan pimpinan Kerajaan Perpaduan atau tokoh-tokoh yang rapat dengan beliau.
“Sebab itu saya memilih untuk bersuara kali ini, selepas satu tuduhan skandal lesen penerokaan mineral seluas 70,000 hektar di Sabah yang membabitkan Farhash mula berlegar. Ini bukan kali pertama Farhash disabitkan dengan pelbagai urusniaga yang mengundang kontroversi,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas lanjut, Rafizi berkata, sejak Anwar menjadi Perdana Menteri, Farhash secara tiba-tiba melonjak menjadi seorang niagawan yang ligat dan mula mempunyai kepentingan dari satu syarikat ke satu syarikat.
Rafizi mendakwa, ada syarikat-syarikat yang dikaitkan dengan Farhash kemudiannya mendapat kontrak perolehan yang besar dari kerajaan.
Menurut Rafizi, apabila perkara itu dibangkitkan sebelum ini, Anwar hanya memberi penafian dan penjelasannya ialah kegiatan perniagaan Farhash tidak ada kena mengena dengan beliau kerana Farhash bukan lagi setiausaha politik beliau.
“Saya memilih untuk bersangka baik ketika itu, walaupun saya tahu pengaruh Farhash dalam PKR dan sebahagian pentadbiran kerajaan itu benar-benar wujud.
“Tuduhan terbaru mengenai lesen penerokaan mineral yang membabitkan Farhash tidak akan mati begitu sahaja. Pendedahan setakat ini disertakan dengan dokumen dan rakaman audio. Saya percaya lebih banyak maklumat akan menjadi pengetahuan umum selepas ini.
“Saya juga percaya ia bukan tuduhan terakhir yang membabitkan Farhash. Dari semasa ke semasa, ada saja kontroversi baru mengenai beliau yang akan menjadi bualan umum. Oleh itu, saya berharap Perdana Menteri memandang perkara ini dengan serius,” katanya.
Rafizi menambah, jika tidak, bukan sahaja usaha-usaha membanteras rasuah tidak membuahkan hasil yang dikehendaki dan diterjemahkan kepada kedudukan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) negara yang lebih baik, tetapi juga beliau khuatir beban Farhash akan mengheret PKR dan PH dalam pilihanraya yang akan datang.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

