SELEPAS sembilan bulan meringkuk dalam tahanan, penyanyi dikir barat moden, Eda Ezrin serta suami dan empat rakannya dilaporkan dibebaskan sepenuhnya dari tahanan Penjara Pusat Wilayah Narathiwat, Thailand hari ini.
Keenam-enam mereka dibebaskan selepas mahkamah menolak permohonan pendakwa raya bagi menyambung tempoh untuk memfailkan rayuan buat kali keenam, hari ini.
Hakim mahkamah penjara Narathiwat membebaskan Eda atau nama sebenarnya Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, 30, bersama suami dan empat individu lain kira-kira jam 11 pagi tadi waktu Thailand.
Sebelum ini UtusanTV melaporkan pada 6 Mac lalu, mahkamah yang bersidang selama tiga hari iaitu 11, 13 dan 14 Februari lepas membebaskan Eda Ezrin, suaminya dan empat rakan daripada tuduhan secara bersama memiliki untuk menjual 6,059 biji pil methamphetamine.
Bagaimanapun, mereka kekal ditahan di penjara kerana mahkamah membenarkan permohonan pendakwa raya untuk melanjutkan tempoh memfailkan rayuan terhadap Eda, suami dan empat rakannya itu.

