“ABANG kalau hendak cari jenis kain yang abang hendak, di kedai saya mungkin kurang, boleh pergi ke kedai hujung sana ada banyak pilihan.”
Demikian tutur seorang pemilik toko kain terkenal di Pekanbaru, Indonesia ketika rakan saya dari portal Lady Bosz dan WAFA TV, Syed Mohd Yusof Wafa Syed Nordin bertanyakan motif dan jenis kain yang dikehendakinya namun tidak ditemukan di kedai tersebut.
Keikhlasannya menyuruh kami ke kedai lain, malah mempromosikan kedai tersebut yang sepatutnya menjadi seteru perniagaannya itu amat mengharukan di sebalik semuanya berlumba-lumba mengaut keuntungan duniawi ini.
Itu antara contoh budi pekerti orang Pekanbaru yang saya temui dan masih berpegang kuat kepada budaya Melayu yang cukup utuh, bak pantun: “Ayam hutan terbang ke hutan, tali tersangkut pagar berduri, adik bukan saudara bukan, hati tersangkut kerana budi.”
Kehadiran kami ke Pekanbaru bersempena menyaksikan kepulangan Mahkota Kesultanan Siak Sri Indrapura ke bumi Riau yang sudah 80 tahun ‘disimpan’ di Muzium Nasional Indonesia, Jakarta.
Ia atas undangan ahli perniagaan terkemuka, Tan Sri Syed Mohd Yusof Tun Syed Nasir yang juga keturunan dari Tengku Mangkubumi Kerajaan Siak Sri Indrapura.
Di sisi lain, orang Melayu di sini cukup berbangga menunjukkan budaya kemelayuan dalam kehidupan harian termasuk ketika acara-acara besar. Malah petugas-petugas Bandara (Lapangan Terbang) Sultan Syarif Kasim II juga tak malu mengenakan tanjak songket di kepala ketika bertugas termasuk yang berbaju Melayu dan bersongkok.
Baca artikel lain: PKR Ampang serah pucuk pimpinan tentukan nasib Tengku Zafrul
Tak kurang hebatnya dengan Gabenor Riau, Abdul Wahid. Saya harus memuji beliau yang mampu berpantun malah membalas pantun dengan pantas dan baik ketika ditemui pada pembukaan Pekan Budaya Melayu Serumpun.
Seorang penjual keris, tanjak dan pending pada majlis berkenaan juga saya temui bertutur dalam bahasa Melayu yang cukup enak didengari malah tersusun cantik dengan loghatnya. Amat berbudi bahasa, seperti pulang ke kampung halaman.
Supir (pemandu kereta) kami bernama Ryan yang berusia lingkungan 20-an tak terkecuali bangga memainkan malah ikut menyanyi lagu-lagu Melayu lama menerusi pemain audio di dalam keretanya.
Begitulah magis yang saya temui di bumi Riau ini yang menyimpan khazanah budaya dan bahasa Melayu asli, tidak tercampur dengan ‘toksik-toksik’ yang merosakkan budaya Melayu itu sendiri.
Tiada dicampuri dengan bahasa asing khususnya Inggeris, inilah Melayu Riau, Melayu Pekanbaru, Melayu Siak yang boleh dibanggakan.
Melihat anak-anak muda yang tak kekok atau malu mengenakan busana Melayu asli di tempat umum, saya amat mengharapkan ia lestari sepanjang zaman.
“Boleh lihat-lihat dulu, tak jadi beli tak mengapa”. Itu juga kalimah yang saya suka dengar, dituturkan oleh seorang penjual kain biarpun berbidang-bidang kain dibukanya untuk kami lihat dan pilih. Tidak sedikitpun dia ‘membuat muka’ atau bermasam muka melayan kerenah kami.
Entah dari manalah semangat yang hadir membuatkannya mampu bersikap sedemikian malah sentiasa mengukir senyuman, menunjukkan Melayu itu perlulah jadi baik dan indah tutur bahasanya, saling hormat-menghormati.
Seperkara lain, deretan kedai-kedai diusahakan orang kita khususnya kain-kain hasil asli Melayu Riau, tak seperti di sini yang mungkin dikuasai orang asing.
Melayu itu bijak berniaga, Melayu itu mampu menjadi ahli perniagaan yang berjaya. Kita di sini perlu jadi kuat dalam perekonomian, bukan sekadar hadir ke pentas-pentas politik melalak melolong sana sini, hasilnya masih mengharapkan ‘tongkat’ dari kerajaan.
Melayu Pekanbaru menjadi contohnya kebangkitan ekonomi bangsa, saling sokong-menyokong, ‘hendak kaya, kaya bersama’, bukannya ada iri hati. Paling penting, jaga tutur bahasa, usah biadab dan menjaga tingkah laku kemelayuan yang tertib.
Metra Syahril Mohamed ialah Ketua Pengarang UtusanTV
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

