KETIKA ini, gelombang ‘Justice For Zara‘ sedang bergema di seluruh negara sebagai tanda solidariti dan menuntut keadilan untuk Allahyarham Zara Qairina Mahathir yang kematiannya masih menjadi tanda tanya hingga hari ini.
Zara Qairina, 13, ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri pada pukul 3 pagi, 16 Julai lalu di longkang berdekatan asrama perempuan sebuah sekolah menengah kebangsaan agama (SMKA) di Papar, Sabah.
Zara Qairina kemudiannya disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth 1, Kota Kinabalu, sehari selepas itu.
Gelombang ‘Justice For Zara‘ itu muncul selepas timbul dakwaan bahawa kematiannya ada kaitan dengan perbuatan buli yang berlaku di sekolah berkenaan.
Selain isu melibatkan Zara Qairina, terbaharu, seorang murid lelaki berusia 10 tahun yang juga pesakit kanser hidung pula menderita akibat gegaran otak selepas turut didakwa menjadi mangsa buli pada Februari lalu.
Mangsa didakwa dipukul, ditendang, dihentak kepala serta dipaksa berbogel oleh murid Darjah Enam ekoran rasa tidak puas hati pelaku terhadap kakak mangsa yang menolak cintanya.
Gila! Bagaimana seorang kanak-kanak berusia 12 tahun boleh terfikir dan tergamak memperlakukan individu lain sedemikian?
Justeru, apabila Kementerian Pendidikan (KPM) mengisytiharkan ‘perang’ terhadap gejala buli, ia sesuatu yang wajar dipuji. Buli sememangnya wajar diperangi habis-habisan.
Namun, kenyataan Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad bahawa semua murid dan pelajar sekolah seluruh negara akan diwajibkan melaungkan ungkapan ‘Kami Anti Buli’ sebelum dan selepas sesi persekolahan, ia mengundang seribu satu persoalan.
Baca artikel lain: Beberapa individu buli Zara Qairina akan dituduh di mahkamah – Peguam Negara
Buli tidak boleh ditangani dengan semata-mata laungan ‘Kami Anti Buli’ atau ‘Kami Benci Buli’. Laungan semata-mata tidak menghentikan seseorang menjadi mangsa.
KPM perlu memikirkan satu pendekatan lebih holistik dalam menangani gejala buli – sejak pertama kali murid melangkah ke alam persekolahan lagi, bukan menunggu sehingga isu buli tular.
‘Sekolah selamat’ perlu dijadikan ‘zikir harian’ KPM demi memastikan tiada lagi nyawa anak-anak kita menjadi korban ekoran gejala jijik itu.
Hasrat sama telah dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menegaskan bahawa budaya buli dihentikan sepenuhnya kerana ia penderaan berbentuk psikologi dan fizikal yang memberi impak besar terhadap masyarakat.
Pandangan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya kerajaan menggubal Rang Undang-Undang (RUU) Anti-Buli yang mengenakan hukuman berat terhadap pembuli juga perlu difikirkan sewajarnya.
Bak kata Muhyiddin, isu berkenaan umpama gajah di dalam bilik terutama di sekolah-sekolah berasrama.
Itu di pihak pembuat dasar. Sudah pasti usaha itu tidak sepatutnya terhenti di situ kerana semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing.
Pihak pentadbir sekolah juga perlu menjalankan tugas untuk membanteras gejala buli, bukan ‘menutup mulut’ demi semata-mata menjaga ‘imej sekolah. Kawalan disiplin yang ketat memang sukar dilaksanakan tetapi tidak mustahil.
Tanggungjawab paling besar sudah tentu di pihak keluarga sama ada mangsa atau pun pembuli. Keluargalah yang perlu bijak mencorakkan anak masing-masing supaya tidak terdedah dengan gejala buli.
Inilah masa terbaik untuk menamatkan amalan buruk dan jahat itu dengan serta-merta. Peganglah prinsip genggam bara api, biar sampai jadi arang.
Ingatlah, buli bukan bahan lawak. Sekali dibuli, trauma berbekas sekian lama.
Afiq Mohd Shah adalah Penolong Pengarang Berita UtusanTV
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

