Zehra Zambri sah bercerai talak satu, mahu fokus pulihkan diri & karier

Dari Penulis

PENYANYI Zehra Zambri, 38, akhirnya sah bercerai talak satu dengan suaminya, Nur Mohd Iqwan Samsudin, 42, dalam prosiding yang berlangsung di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat, pagi ini.

Lafaz cerai dilakukan sekitar jam 10.30 pagi di hadapan Hakim Syarie, Wan Nurulddin Wan Hussain.

Menurut Zehra, keputusan itu memberi kelegaan besar kepadanya selepas melalui pelbagai tekanan dan konflik dalam rumah tangga sejak beberapa bulan lalu.

“Apabila kes perceraian ini selesai, memang beban yang saya tanggung sudah hilang sedikit dan kini banyak perkara yang boleh saya rancang untuk kehidupan baharu,” katanya ketika ditemui selepas prosiding.

Zehra berkata, walaupun perkahwinannya telah berakhir, dia memilih untuk terus maju ke hadapan demi dirinya dan anak perempuan mereka yang kini berusia tiga tahun, Zahiyah Iqleela.

“Saya perlu pulihkan diri dan berdamai dengan takdir ini. Ia perlukan masa, tapi saya akan cari balik diri saya yang hilang sebelum ini. 

“Saya mahu kehidupan baharu dan semangat baharu. Fokus saya kini adalah pada anak dan kerjaya seni,” ujarnya.

Pada masa sama, Zehra menegaskan tidak akan kembali kepada bekas suaminya, sekali gus menutup ruang untuk sebarang kemungkinan berbaik semula.

“Dalam perkahwinan pun, dia tahulah macam mana layanan dia terhadap saya. Saya rasa sudahlah, dah tutup buku. 

“Saya tak mahu cerita soal kezaliman atau keburukan. Semuanya dah lepas. Saya nak ‘move on’,” ujarnya.

Zehra memfailkan permohonan cerai terhadap Iqwan pada 7 Mac lalu dengan lima tuntutan termasuk berkaitan nafkah dan dakwaan keganasan rumah tangga.

 Hasil pembentangan Jawatan Kuasa Pendamai (JKP) kepada mahkamah sebelum ini turut mengesahkan wujudnya shiqaq atau tiada persefahaman yang berpanjangan dalam rumah tangga mereka.

Mahkamah sebelum ini menetapkan perceraian akan dilaksanakan melalui proses lantikan hakam selepas gagal menemui jalan damai. 

Lafaz cerai yang sepatutnya dibuat pada 13 Ogos lalu terpaksa ditangguhkan apabila Zehra berada dalam keadaan tidak suci.

Mengulas lanjut, Zehra berkata, dia mahu lebih aktif dalam bidang seni selepas ini dan percaya dengan sokongan peminat, dia mampu bangkit membina semula kehidupannya.

“Banyak benda baharu saya nak teroka, dan saya yakin apa yang berlaku ini ada hikmahnya. 

“Saya akan terus melangkah ke hadapan demi anak dan juga diri saya sendiri,” katanya penuh semangat.

Untuk info, Zehra dan Iqwan mendirikan rumah tangga pada 10 November 2021 dan hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Hawa Rizwana dipilih kerana kredibiliti, bukan populariti

DI SEBALIK lambakan pempengaruh digital dan selebriti media sosial yang bersandarkan populariti semata-mata, pengacara serta personaliti televisyen terkenal, Hawa...

More Articles Like This