TANGGAL 31 Ogos setiap tahun merupakan tarikh keramat yang memberi penuh makna kerana ia menandakan bahawa tanah tumpahnya darah kita ini bebas daripada belenggu penjajahan.
Tarikh itulah yakni tahun 1957, 11 negeri merangkumi sembilan negeri-negeri Melayu dan dua negeri selat iaitu Pulau Pinang serta Melaka yang membentuk Persekutuan Tanah Melayu memperoleh kemerdekaan.
Pada ketika itulah, 68 tahun yang lalu, bendera Persekutuan Tanah Melayu yang kini dikenali sebagai Jalur Gemilang dan lagu kebangsaan ‘Negaraku’ berkibar serta berkumandang megah sebagai lambang negara yang berdaulat.
Sebagai anak bangsa Malaysia, tentu sekali perasaan bangga dan penuh cintakan tanah air ini tetap terpahat dalam dada lebih-lebih lagi bila tibanya bulan Ogos tiap tahun.
Semangat patriotisme pasti membuak-buak apabila menelusuri setiap langkah kegigihan nenek moyang kita hingga nikmat kemerdekaan itu akhirnya dapat dicapai.
Namun, semakin lama berlalu, semangat patriotisme itu yang sepatutnya menjadi tunjang semua lapisan masyarakat seolah-olah pudar.
Masyarakat kini semakin ‘mati’ rasa cinta kepada tanah air dengan menganggap bahawa tiada keperluan berbuat demikian.
Situasi sedemikian amat membimbangkan apatah lagi jika ia berlaku dalam kalangan generasi masa depan negara.
Kebelakangan ini, timbul pula kejadian tidak diingini apabila ada pihak seolah-olah dengan sengaja ‘mencabar’ maruah negara.
Pelbagai isu yang berlaku seperti pemasangan bendera Jalur Gemilang terbalik dan tidak menghormati ‘Negaraku’ agak membimbangkan.
Reaksi balas yang ditonjolkan sesetengah pihak juga sepatutnya ditangani dengan lebih berhemah supaya ‘api’ itu diredakan dengan air, bukannya minyak.
Lebih menyedihkan, segala peristiwa itu berlaku dalam bulan keramat Ogos yang sepatutnya menjadi bulan meraikan nilai kebangsaan dalam diri setiap individu.
Di manakah silapnya?
Rasa patriotisme tidak seharusnya hanya timbul tatkala menghampiri bulan Ogos sahaja. Ia sepatutnya sentiasa ditanam dalam diri setiap anak Malaysia.
Bukan sekadar di peringkat sekolah, semangat cintakan tanah air patut disemai dan ‘disiram’ hingga ke usia senja.
Tidak terhenti setakat itu, setiap rakyat Malaysia juga perlu menghayati tanggungjawab yang dipegang untuk mempertahankan maruah negara.
Malulah jika anda mengaku rakyat Malaysia tetapi bahasa Melayu pun tak dapat dikuasai.
Malulah jika anda mengaku rakyat Malaysia tetapi Jalur Gemilang pun tak dihormati.
Malulah jika anda mengaku rakyat Malaysia tetapi ‘Negaraku’ pun tak disanjung tinggi.
Mengambil bait sajak ‘Erti Sebuah Kemerdekaan’ karya Sasterawan Negara, Datuk Seri Dr A Samad Said yang berbunyi:
‘Kita mencari hanya yang tulen dan jati, sekata hidup, mengerti dan berbudi.’
Tanah tumpahnya darahku ini tiada galang ganti, tetap di hati nurani.
Afiq Mohd Shah adalah Penolong Pengarang Berita UtusanTV
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

