KALAU sebut sahaja nama Gula Cakery, ramai pasti terbayang kek comel, dessert penuh warna dan suasana kafe yang manis. Namun, di sebalik jenama gah ini berdiri seorang wanita muda yang penuh inspirasi, Arieni Adriena, pengasas Gula Cakery.
Lebih manis daripada setiap lapisan kek yang dijual, perjalanan Arieni sendiri kini jadi perhatian ramai selepas menerima pujian daripada bekas Menteri Kesihatan, YB Khairy Jamaluddin yang mengagumi kejayaan perniagaannya.
“Saya sangat terharu bila YB Khairy puji usaha kami. Beliau seorang pemimpin yang saya hormati.
“Kata-kata itu buat saya rasa saya perlu terus bekerja keras agar Gula Cakery sentiasa kekal kukuh,” katanya.

Arieni bukanlah usahawan yang bermula dengan modal besar. Hanya berbekalkan simpanan RM20,000, dia memulakan bisnes dari rumah keluarganya.
Sedikit demi sedikit, setiap keuntungan dilaburkan semula hingga akhirnya Gula Cakery berkembang menjadi empayar F&B yang kini mencatat jualan mencecah RM4 juta sebulan.
Bagi Arieni, resipi sebenar kejayaan bukan sekadar gula dan tepung, tetapi sikap untuk terus belajar.
“Prinsip saya mudah, ‘never stop learning’. Saya belajar resipi baharu, operasi dan kepimpinan.
“Itu yang buat saya berani ambil peluang dan sentiasa perbaiki diri.
“Cabaran paling besar adalah untuk terus relevan. Kami atasi dengan inovasi berterusan, tingkatkan pengalaman pelanggan, serta pastikan servis dan kualiti sentiasa konsisten,” katanya lagi.

Walaupun sudah berada di tahap tinggi, Arieni tetap mengekalkan nilai kerja yang sama sejak mula kejujuran dan kualiti.
“Setiap kek mesti rasa sedap sama macam hari pertama. Pelanggan mesti rasa dihargai. Itu yang buat orang percaya dan kembali lagi,” katanya.
Bukan sekadar usahawan, Arieni juga mahu jadi inspirasi kepada anak muda untuk berani mengejar impian.
“Jangan tunggu semua sempurna. Passion itu penting, tapi disiplin dan konsistensi yang akan bawa kita jauh,” pesannya.

Dengan wajah ayu dan aura penuh keyakinan, Arieni kini berazam membawa Gula Cakery ke seluruh Malaysia, menjadikannya ikon F&B tempatan yang sinonim dengan sambutan dan perayaan.
“Saya mahu bila orang fikir tentang kek dan pencuci mulut, Gula Cakery terus jadi pilihan pertama,” katanya penuh yakin, seolah-olah sudah melihat masa depan yang lebih manis.

