Harga runcit RON95 tanpa subsidi ditetapkan RM2.60 seliter

Dari Penulis

HARGA runcit petrol RON95 tanpa subsidi ditetapkan pada RM2.60 seliter bagi tempoh 30 September hingga 8 Oktober, menurut Kementerian Kewangan (MOF).

Jelas kementerian itu, kerajaan akan terus memantau perkembangan pasaran dan menyelaras harga runcit RON95 dengan mengambil kira pergerakan harga pasaran minyak dan juga menyokong kestabilan harga.

MOF memberitahu, dengan pelaksanaan Program BUDI MADANI RON95 (BUDI95), mulai hari ini, harga runcit RON95 tanpa subsidi ditetapkan pada RM2.60 seliter.

“Melalui pendekatan penyasaran subsidi, BUDI95 membolehkan warganegara Malaysia menikmati harga bersubsidi petrol RON95 pada RM1.99 seliter.

“Di bawah BUDI95, rakyat dapat menikmati manfaat subsidi sebanyak RM0.61 seliter dan berdasarkan had kelayakan 300 liter, manfaat subsidi tersebut dapat mencecah RM183 sebulan bagi setiap individu,” jelasnya dalam kenyataan.

MOF menambah, bagi permulaan, harga runcit RON95 akan kekal pada harga RM2.60 seliter untuk bulan Oktober ini.

Sehubungan itu katanya, berdasarkan penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan menggunakan formula Automatic Pricing Mechanism, harga runcit produk petroleum bagi tempoh 30 September hingga 8 Oktober adalah ditetapkan seperti berikut:

(i) harga runcit petrol RON97 kekal pada paras RM3.21 seliter;

(ii) harga runcit petrol bersubsidi RON95 bagi warganegara di bawah BUDI95 ditetapkan pada RM1.99 seliter;

(iii) harga runcit petrol RON95 tanpa subsidi ditetapkan pada RM2.60 seliter;

(iv) harga runcit petrol bersubsidi RON95 bagi sektor pengangkutan darat awam dan pengangkutan darat barangan di bawah Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) ditetapkan pada RM2.05 seliter;

(v) harga runcit diesel di Semenanjung kekal pada paras RM2.93 seliter; dan

(vi) harga runcit diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan kekal pada paras RM2.15 seliter.

Kerajaan, EHO kenal pasti pemandu layak

“Kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

“Bagi pemandu e-hailing, kerajaan akan berurusan dengan Penyedia Perkhidmatan E- hailing (EHO) bagi mengenal pasti pemandu yang layak untuk had kelayakan tambahan untuk petrol bersubsidi,” katanya.

Jelas MOF, pihaknya bersama Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) akan memuktamadkan proses permohonan had kelayakan tambahan dengan pihak EHO minggu ini.

Kerajaan juga katanya, telah bersetuju mempertimbangkan supaya pengendali bot terutamanya di Sabah and Sarawak layak untuk harga bersubsidi.

“Kerajaan sedang bekerjasama dengan agensi dan Kerajaan Negeri berkenaan bagi mengumpulkan data pemilik bot terbabit.

“Ini supaya pengguna tersebut tidak tercicir daripada menikmati kelebihan harga bersubsidi BUDI95,” katanya.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Saluran RTM akan terus bersiaran di platform Astro

RAKYAT Malaysia akan terus dapat menikmati saluran televisyen utama Radio Televisyen Malaysia (RTM) iaitu TV1, TV2 dan TV Okey...

More Articles Like This